30 April 2012

Edar dadah, tiga pelarian Myanmar ke tali gantung

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Tiga pelarian warga Myanmar dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam, setelah didapati bersalah kerana mengedar dadah seberat 56.22 gram, dua tahun lalu.

Noor Mohamad Zakaria, 33, Taher Ahmad Mustafa Ahmad, 33, dan MG Myint Tun, 26, dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 9.45 malam, 6 September 2010, di tempat letak kereta berhampiran pam angin sebuah stesen minyak di Taman Sejati, Kuala Muda.

Noor Mohamad, Taher Ahmad dan Myint, dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar 48.2 gram heroin dan 8.02 gram Monoacetylmorphines.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan pembelaan ketiga-tiga tertuduh dalam kandang, tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan ketiga-tiga tertuduh disabitkan dengan kesalahan.

“Walaupun pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang lengkap di mahkamah, ia tidak menimbulkan prejudis terhadap kes pendakwaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: