30 April 2012

Pelajar maut perut terburai

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PELABUHAN BARAT - Seorang pelajar tingkatan 4 maut dalam keadaan mengerikan apabila perutnya terburai selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pelabuhan Barat menghala Pandamaran, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikenali Muhammad Norfahmi Mohamad Ali, 16, dari Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah maut selepas motosikal yang ditunggang bersama seorang rakan dirempuh sebuah lori.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa terseret beberapa meter bersama motosikal selepas digilis lori terbabit.

“Berikutan itu, organ dalaman di bahagian perut mangsa pecah menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Motosikal yang ditunggang dua sekawan itu juga rosak teruk akibat dirempuh dan terseret,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berdasarkan makluman kakitangan pihak hospital.

“Sehingga kini kita masih mengesan rakan mangsa untuk membantu siasatan yang gagal dikesan sejurus kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Nur Baidura Datuk Zulyadaen di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pembalasan tuhan.. budak ni memang jahat.. kwn2 dia ramai lagi yg x serik2 tu malaikat maut kata takpe.. wait for your turn