30 April 2012

PAS masih gagal dekati polis

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat berjaya menyokong kempen NGO menganjurkan Bersih 3.0 – Duduk Bantah.

Bersih 3.0 pada petang 28 April 2012 itu lebih berjaya dari rancangan asalnya iaitu berhimpun duduk di Dataran Merdeka saja dan jalan raya sekeliling dibiarkan lancar.

Tetapi secara tidak langsung ia mendapat bantuan awal dari DBKL dan polis memagar berduri Dataran Merdeka dan menutup semua jalan masuk ke situ kepada kesemua kenderaan empat roda. Ia memberi peluang kepada Bersih 3.0 mengelilingi Dataran Merdeka.

Apabila kenderaan tidak boleh masuk maka semua ruang jalanraya di luar pagar duri Dataran Merdeka itu kosong dan boleh dipenuhi untuk duduk. Berapa puluh ribu saja yang dapat ditampungi oleh Dataran Merkeda yang dipagar itu?

Ruang kosong di setiap jalan berbatu-batu menuju Dataran Merdeka telah menjadi ruang yang lebih lapang boleh diduduki oleh lebih ramai – ratus ribu manusia - dibandingkan dengan Dataran Merdeka. Hajat di hati hendak memenuhi Dataran Merdeka, rupanya dapat mengelilinginya pula. Ia lebih megah dari rancangan asal.

Sembutan semua kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain duduk bertemu lutut laki-laki, perempuan, tua dan muda luar biasa menjadi Bersih 3.0 itu amat berjaya. Ramai mana? Tidak keterlaluan sampai yang tidak dapat sampai itu boleh dikatakan menjangkau dekat setengah juta.

Seribu kali Perkasa dan suku sakat UMNO mengadakan tunjuk perasaan terhadap kerajaan negeri Pakatan di sana sini sejak 2008, tidak sampai sepuluh peratus orang yang menyertai Bersih 3.0.

Semuanya berjalan aman sehinggalah menjelang waktu sepatutnya bersurai sebelum Asar. Justeru semua jalan padat yang di sekeliling Dataran Merdeka tidak dapat bergerak selagi yang diekor setiap jalan tidak bersurai. Dari ekor untuk sampai ke pangkal Dataran Merdeka mengambil masa tidak kurang sejam bagi mengosongkan jalanan. Yang lambat kerana semua berjalan kaki. Teksi dan kenderaan tidak boleh masuk kerana jalan ditutup.

Kelambatan beredar itu mengundang kecelakaan. Wujud keadaan entah mengapa polis melepaskan apa yang dapat dilepas. Baik ia berpunca dari polis atau ahli demonstran polis melepaskan peluru air. Ramai yang jadi mangsa segala jenis cecair pancutan polis. Mata-mata berkejar-kejar memburu penunjuk perasaan.

Nampak gambar berbagai stesyen TV dunia tindakan polis bagai menghadapi rusuhan terhadap orang-orang yang tidak bersenjata. Ada gambar demonstran yang muka berdarah diheret polis.

Malam selepas itu saya menonton klip video amatur di satu jalan kosong, beberapa motosikal trafik meluru ke situ, berhenti turun dari motorsikal menyertai beberapa orang polis memukul, menumbuk, menyepak dan menendang seorang demonstran yang mereka pegang. Berbelas-belas polis membalun hamba Allah yang malang itu.

Dari bahasa gambar itu setiap yang melihatnya merasakan polis hilang pertimbangan terhadap mangsa. Mana polis boleh buat begitu. Tiada siapa yang tidak geram atas penjagaan keamaman begitu. Benarlah pertanyaan malaikat terhadap Allah ketika mencipta Adam, betapa manusia itu suka menumpah darah dan berbunuh-bunuhan.

200 lebih demonstran ditahan polis. Menteri Hishamuddin berkata, polis bertindak profesional. Berbelas polis menyepak terajang seorang yang lemah itu profesionalkah. Tahukah menteri apa itu profesional?

Siapa salah perlu dijawab oleh suruhanjaya penyiasat. Tetapi kerajaan amat fobia dengan suruhanjaya siasatan. Profesional BN ialah tiada suruhanjaya penyiasat. Lalu jawapan tidak akan ada. Itulah kerajaan UMNO/BN.

Apa pun ia adalah bukti polis amat anti pada unjuk rasa. Antara yang menyertai Bersih 3.0 dan Bersih 1.0 dan 2.0 sebelumnya dipenuhi PAS.

PAS sudah berjaya mendekati orang bukan Islam. Orang bukan Islam bertambah ramai tidak membantah perjuangan PAS. Walaupun bukan Islam masih bukan Islam tetapi rata-rata tidak anti Islam bagai Quraisy dan salibiyah dulu. Mereka mahu bersama PAS dalam semua kehidupan dunia.

Itulah kejayaan PAS. Bila PAS menyokong Bersih 3.0 itu Cina dan India yang turun amat selesa bersama-sama dengan orang PAS antaranya ramai yang berpurdah. Semua nyonya tua tahu mereka orang PAS, tetapi berkat pendekatan PAS kepada orang bukan Islam mereka tidak anti PAS lagi.

PAS berjaya mengendurkan sikap dan pandangan orang bukan Islam terhadap semua kerja politiknya tetapi PAS gagal untuk mendekati polis. Tidaklah polis itu dikatakan anti PAS, tetapi polis belum dapat menerima kerja-kerja politik PAS seperti demonstrasi menuntut keadilan dan kebebasan.

Selagi Putrajaya tidak diambil begitulah persepsi polis yang sedang berkhidmat terhadap politik PAS. PAS mengambil masa 50 tahun mendekati dan memahamkan bukan Islam terhadap politiknya, tetapi PAS mungkin memerlukan masa 50 tahun lagi bagi menukar persepsi polis terhadapnya. Pendekatan PAS terhadap polis belum berjaya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: