30 April 2012

Barang kemas, wang lesap

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang peniaga terpaksa berputih mata, selepas kedai pakaian batik di Bazar Buluh Kubu, dimasuki seorang wanita yang melarikan barangan kemas dan beg duit dalam kejadian petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu hanya disedari Noriza Ariffin, 26, ketika melihat seorang wanita keluar dari kedai milik mertuanya dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa kejadian, saya berada di luar, berborak dengan peniaga di depan kedai dan hanya menyedari seorang wanita keluar dalam keadaan tergesa-gesa. Melihatkan keadaan itu, saya tidak sedap hati, lalu terus menuju ke bahagian laci meja dan mendapati, beg tangan yang mengandungi barang kemas termasuk rantai, gelang serta duit bernilai hampir RM11,000 lesap,” katanya kepada pemberita semalam.

“Saya tidak sempat kejar dia kerana berlaku terlalu cepat. Ini kejadian pertama sepanjang lima tahun menjaga kedai milik mertua. Saya masih trauma dengan kejadian ini,” katanya.

Manakala bagi seorang lagi peniaga di situ, Nor Hamizah Isha, 24, turut menjadi mangsa apabila mendapati beg duitnya hilang kira-kira jam 4.30 petang dengan kerugian dianggarkan RM60.

“Semasa kejadian, tiada pelanggan yang berada di dalam kedai ini, jadi saya duduk di bahagian hadapan untuk menyusun kain bersama seorang lagi rakan. Tiba-tiba rakan saya sedar kehadiran seorang wanita yang memakai baju kemeja T, seluar jeans dan bertudung, masuk ke dalam kedai sambil mendukung anak dan keluar dengan pantas sambil bertanya mengenai harga kain," katanya.

Nor Hamizah berkata, tanpa perasaan curiga dia melayan wanita itu yang sebenarnya, hanya berpura-pura bertanya mengenai harga kain.

“Sehingga tiba waktu Asar, barulah saya masuk kedai dan melihat beg duit yang diletakkan dalam kedai hilang. Rakan saya mula mengesyaki wanita terbabit mencuri beg itu kerana semasa melipat kain di bahagian depan dia nampak kelibat wanita itu masuk dalam kedai,” katanya.

Kedua-dua peniaga terbabit membuat laporan polis dan menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: