19 Mei 2012

Polis digesa henti intimidasi Irene Fernandez

27 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan mendesak kerajaan menghentikan segala tindakan intimidasi terhadap Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez.

Ketua penerangannya Lee Khai Loon berkata, jika tidak berhati-hati, tindakan polis menyiasat Fernandez di bawah Akta Hasutan, hanya akan dilihat seolah-olah cuba melindungi pegawai penguatkuasa yang terlibat dalam rasuah dan ugutan.

"Pihak polis perlu mengambil tindakan yang proaktif terhadap kenyataan yang telah dibuat oleh Irene Fernandez di dalam temu bual Jakarta Post dengan menyiasat isu pekerja asing ditindas dan terpaksa bekerja di tempat kerja yang tidak selamat.

"Masalah pemerdagangan manusia serta rasuah yang semakin ketara perlu diatasi dengan tindakan polis yang profesional dan efektif," jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagi mengulas tindakan polis kelmarin yang telah membuka kertas siasatan terhadap Fernandez yang didakwa berterusan memburuk dan memfitnah negara berhubung isu tenaga kerja asing.

Sebelum ini, Fernandez dalam temu bual berbentuk soal jawab yang disiarkan akhbar Jakarta Post, mendakwa majikan di Malaysia melanggar undang-undang dan terbabit dalam rasuah selain anggota Rela sering menggugut pekerja asing.

Mengulas lanjut Khai Loon berkata, kerajaan tidak wajar menggunakan pelbagai akta untuk menakutkan rakyat khususnya pemberi maklumat yang berkaitan penyelewengan dan salah guna kuasa di dalam kerajaan.

"Ramai pemberi maklumat yang berani mendedahkan penyelewengan dan salah guna kuasa pihak berkuasa telah dihukum atau ditakuti di bawah akta yang zalim ini.

"AMK menyokong sepenuhnya tindakan Irene Fernandez yang penuh dengan keberanian," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: