29 Ogos 2012

30 buah rumah di Mak Mandin rosak dipukul ribut

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Tiga puluh buah rumah di perumahan Mak Mandin Hijau di sini rosak selepas dipukul ribut dalam kejadian hujan lebat semalam.

Dalam kejadian pada 9.30 malam itu, lapan buah rumah daripada keseluruhan kediaman yang terlibat rosak teruk kerana bumbung rumah mereka turut diterbangkan angin kencang.

Seorang mangsa, Zainab Md Zain, 57, berkata semasa kejadian dia berada di dalam rumah apabila tiba-tiba berlaku hujan lebat serta ribut sehingga bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin dan bahagian dalam rumah pula dimasuki air hujan.

Katanya dalam keadaan takut, dia bersama empat anak memunggah barangan ke bahagian ruang dapur bagi mengelak daripada basah dan rosak.

"Apa yang boleh saya kata ribut kali ini antara yang teruk berbanding sebelumnya dan bahagian atas rumah yang dijadikan ruang tamu dan bilik tidur tidak lagi boleh digunakan," katanya di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, K.Valli, 70, berkata ketika kejadian dia bersama anak, menantu dan seorang cucu perempuannya sedang berehat di bilik masing-masing selepas menonton televisyen.

Katanya kira-kira pukul 9.30 semalam, dia terdengar deruman angin kencang diikuti kerangka bumbung tiba-tiba bergoyang dan pada masa sama kepingan bumbung di ruang tamu mula tercabut satu persatu, menyebabkan mereka segera keluar menyelamatkan diri.

Bagi M.Thivuselvi, 20, kejadian ribut itu hampir mencederakan dia dan anggota keluarganya yang lain.

"Saya bersiap untuk tidur selepas berbual dengan emak di ruang tamu apabila tiba-tiba bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin.

"Kami kemudian bergegas mencari plastik untuk menutup peralatan eletrik daripada ditimpa air hujan namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana bumbung telah jatuh ke dalam rumah kami sebelum bergegas keluar selepas mendapati kepingan asbestos semakin banyak pecah dan jatuh," katanya.

Kejadian ribut yang berlaku kira-kira 30 minit itu mendapat perhatian segera Penyelaras Parlimen Bagan David Chua Teik Siang yang melakukan lawatan dan menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban penduduk.

Ketika ditemui, Chua berkata pihaknya turut memaklumkan kejadian itu kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Utara Abdul Rahim Mohd untuk mengambil tindakan segera membantu penduduk yang terlibat.

Dalam masa sama, beliau turut menghantar permohonan kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan bagi memohon bantuan di bawah kategori bencana dan sementara menantikan permohonan itu diluluskan, beliau mengeluarkan peruntukan sendiri untuk membantu mangsa terlibat.

"Saya harap penduduk bersabar kerana kita turut mengusahakan pelbagai bantuan lain untuk membantu meringankan beban mereka," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: