29 Ogos 2012

Rakyat, pelancong bimbang laporan jenayah di Perak

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Perak amat bimbang dengan laporan media yang memuatkan berita daripada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dengan kes-kes kemalangan, kematian dan juga kecurian kecil ataupun besar yang sering berlaku di negeri itu.

“Perkembangan ini amat mencemaskan bukan hanya rakyat, tetapi juga pelancong luar yang datang melawat negeri Perak sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 pada kali ini,” kata Ketua Penerangannya, Ahmad Nuri al-Amin.

Sebagai contoh, ujarnya satu akhbar hari ini telah memuatkan satu muka surat berita laporan polis tentang kes-kes yang berlaku di Perak sudah tentu akan memberikan persepsi tidak sihat dalam isu berkaitan keselamatan.

Katanya, rakyat negeri itu khasnya dan pelancong luar yang berkunjung ke Perak sudah tentu mengikuti perkembangan itu dan tidak merasa selesa dan selamat untuk berada di negeri itu.

Menurutnya, insiden yang berlaku di musim perayaan ini akan memberi gambaran yang tidak elok terhadap suasana sambutan hari-hari kebesaran yang dibimbangi akan menjejaskan sambutan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos ini jika tidak ditangani dengan sebaiknya, sama ada dari pihak media atau polis.

“Justeru, kami mengharapkan agar pengamal media dapat membantu pihak polis dalam usaha untuk mencegah kejadian jenayah yang sering berlaku agar proses pencegahan awal dapat mendidik rakyat khasnya,“ ujarnya.

Beliau berkata, usaha bagi memberikan teguran awal melalui media dapat memberikan didikan kepada semua lapisan masyarakat bagi menangani isu ini secara berkesan.

“Kami akan sentiasa menyokong usaha bagi memberikan informasi pendidikan kepada masyarakat agar isu keselamatan dapat dibendung lebih awal lagi,” katanya.

Pihak polis juga, tambah beliau disarankan agar memberikan tumpuan yang serius terhadap isu jenayah yang semakin meruncing di Perak demi untuk menyumbang ke arah negeri yang lebih selamat kepada semua.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: