17 September 2012

Deklarasi Kuching: Komitmen PR bela rakyat Sabah, S'wak M

29 Syawal 1433H. [MOD] - KUCHING: Deklarasi Kuching yang ditandatangani pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat semalam mengariskan tujuh perkara pokok bagi membela rakyat Sabah dan Sarawak.

Antara lain ianya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah dan Sarawak serta pembangunan kedua-dua negeri.

Malah ianya juga sebagai komitmen Pakatan Rakyat untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

Deklarasi tersebut telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Chong Ling Park, Kuching petang semalam.

Deklarasi tersebut turut diumumkan pada Sambutan Hari Malaysia di sini semalam.

Tujuh perkara yang terkandung dalam deklarasi tersebut adalah:

PERKARA 1: KERJASAMA BERSEKUTU

Kami akan memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

PERKARA 2: PERWAKILAN YANG ADIL

Kami akan mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

PERKARA 3: KEWARGANEGARAAN

Kami akan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.

PERKARA 4: PENGIKTIRAFAN HAK KE ATAS TANAH ADAT

Kami akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

PERKARA 5: KECEKAPAN DAN KEMANDIRIAN SARAWAK DAN SABAH

Kami akan mengiktiraf perlantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

PERKARA 6: KEADILAN DALAM ISU MINYAK

Kami akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.
PERKARA 7: PEMBANGUNAN SEKATA

Kami akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

Pakatan Rakyat menjelaskan deklarasi ini merupakan satu perjanjian yang tidak boleh disangkal serta dipersoalkan, ia termaktub di antara Pakatan Rakyat dan segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Perjanjian yang ditandatangani pada 16 September itu juga bermatlamat agar kebebasan dapat dicapai dan masyarakat boleh hidup bersatu pada dalam suasana aman dan damai.

Sementera itu, selain ditandatangani oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat, deklarasi tersebut turut ditandatangani oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Adam Ahid, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan juga Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng.

Perjanjian enam salinan itu telah disimpan oleh mereka yang telah menurunkan tandatangan sebagai saksi bahawa deklarasi Kuching adalah janji Pakatan Rakyat kepada seluruh rakyat Malaysia.(HD)

1 ulasan:

Unknown berkata...

http://shafw4n.blogspot.com/2012/09/peringkat-peringkat-dawah-islamiyyah.html