29 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Digesa mengakaji semula modul latihan fizikal terhadap Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ekoran kejadian seorang pegawai itu meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal di Pekan, Pahang semalam.
Dalam kejadian semalam, pegawai tersebut, Aldy Hasmi Abu Hassan, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan Wataniah.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira dua tahun selepas kematian seorang pelatih PTD Norhashimah Wahid, ketika menjalani latihan ala-komando.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dengan berulangnya kematian seorang lagi anggota PTD semalam membangkitkan persoalan adakah pihak JPA benar-benar belajar daripada tragedi yang lepas dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Saya tidak mempertikaikan perlunya pegawai PTD kita cergas dari segi fizikal dan mental.
"Namun ramai peserta kursus-kursus ini mempersoalkan mengapakah perlu latihan fizikal yang terlalu mencabar berbanding dengan tugas mereka sebagai PTD," katanya.
Difahamkan, latihan modul komando telah pun diberhentikan dan prosedur operasi diubah berikutan tragedi yang berlaku terhadap pelatih wanita itu dua tahun lalu.
Berikutan tragedi yang menimpa Allahyarham Aldy Hasmi semalam pula, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa meminta aktiviti lasak bagi PTD dihentikan serta-merta.
Menurut Nik Nazmi yang juga Adun Sri Setia, JPA harus mendedahkan kepada umum sama ada kedua-dua kes Norhashimah dan Aldy merupakan kemalangan ataupun wujud elemen kecuaian.
"JPA juga harus memikirkan semula secara serius dan menyeluruh latihan buat PTD agar lebih relevan dengan keadaan semasa dan memastikan keselamatan PTD terpelihara.
"Sekali lagi ucapan takziah kepada keluarga arwah Aldy Hasmi dan Norhashimah," katanya.(HD)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan