5 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
PRIHATIN...Adnan Salleh melihat ketumbuhan di
belakang badan Adnan Teh ketika mengunjungi rumah warga emas itu di
Kampung Ladang Sahat, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU: “Sudah tujuh tahun saya hilang nikmat tidur
telentang,” kata Adnan Teh, 71, yang mempunyai ketumbuhan di belakang
badan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ladang Sahat, di sini,
kelmarin.
Menurutnya, ketumbuhan itu mula dikesan pada 2005 dan semakin
membesar menyebabkannya hanya boleh tidur mengiring setiap hari.
Katanya, ketumbuhan itu menyukarkannya memakai baju berikutan benjol yang bersaiz agak besar.
“Walaupun ketumbuhan itu besar, namun tidak menyakitkan menyebabkan saya tidak mendapatkan rawatan segera,” katanya.
Katanya, buat masa ini dia belum merancang melakukan pembedahan membuang ketumbuhan itu walaupun ia semakin membesar.
“Namun, jika ada pihak sudi membantu dari segi kos rawatan, saya tiada masalah,” katanya.
Adnan yang tidak bekerja berkata, kebanyakan masanya dihabiskan di
rumah kecuali waktu pagi apabila ke pasar membeli lauk-pauk.
“Saya tinggal bersendirian berikutan tidak pernah berumah tangga dan hanya bergantung harap kepada saudara terdekat selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan,” katanya.
Penderitaan warga emas itu mendapat perhatian Majlis Agama dan
Adat Melayu Terengganu yang menghulurkan zakat RM1,000 disampaikan wakil
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Ladang Sahat di
rumahnya, kelmarin.
“Saya bersyukur kerana menerima bantuan zakat ini yang dapat meringankan beban menguruskan perbelanjaan harian,” katanya.
Pengerusi JKK Kampung Ladang Sahat, Adnan Salleh berkata, pihaknya akan memohon dana daripada Tabung Penyakit Kronik negeri bagi membantu warga emas terbabit membuang ketumbuhan berkenaan.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan