21 September 2012

Royalti: NGO R akan berkonvoi ke Putrajaya

5 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan, (Royalti) akan menganjurkan konvoi mega R ke Putrajaya.

Ianya adalah bersempena berlangsungnya perbicaraan kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petronas berkenaan Royalti Petroleum jam 9 pagi di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya pada 3 Oktober ini.

Mengikut jadual, konvoi itu akan bermula sehari awal iaitu pada 2 Oktober dari beberapa tempat dari seluruh negara sebelum bersama menuju ke Putrajaya pada pagi 3 Oktober.

Konvoi yang datang dari beberapa tempat itu dijangka akan bergabung di Dataran Kemerdekaan  Shah Alam pada malam 2 Oktober itu sempena majlis solat hajat royalti yang akan dihadiri kepimpinan Pakatan Rakyat dan pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan termasuk Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Satu majlis ceramah royalti juga akan diadakan selepas solat Isyak yang akan menampilkan Tuan Guru Nik Aziz, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, Pengerusi NGO R, Nazri Deraman serta pimpinan Pakatan Rakyat Selangor, Sabah dan Sarawak.

Pada keesokannya pula, semua kepimpinan kerajaan negeri Kelantan akan hadir ke Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya bersama pasukan konvoi R.

Pada masa sama, NGO R juga akan menyerahkan 150,000 tanda tangan rakyat Kelantan yang menyokong tuntutan royalti kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Jabatan Perdana Menteri.

Perbicaraan pada 3 Oktober ini adalah bagi mendengar permohonan Kerajaan Negeri Kelantan untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berkenaan dengan 3 perkara:

i. Pendengaran permohonan untuk merayu terhadap keputusan yang menolak permohonan oleh Kerajaan Kelantan untuk mendapatkan penzahiran dokumen.

ii. Pendengaran permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membenarkan permohonan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menentukan kes melalui isu undang-undang Aturan 14A dan bukan melalui perbicaraan (hanya hujah guaman tanpa saksi)

iii. Pendengaran permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membenarkan permohonan oleh Petronas untuk menentukan kes melalui isu undang-undang Aturan 14A dan bukan melalui perbicaraan (hanya hujah guaman tanpa saksi).

harakAHDAILY/-

Tiada ulasan: