21 September 2012

Muslimat sokong Presiden PAS saman Mashitah

5 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

 KUALA LUMPUR: Muslimat PAS menyokong tindakan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah mengambil keputusan untuk menyaman Datuk Dr Mashitah Ibrahim ekoran fitnahnya dalam sebuah artikel ke atas Presiden PAS itu.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, tindakan ini wajar untuk membersihkan nama Presiden dan yang paling penting adalah sebagai satu pengajaran, ingatan dan amaran kepada Mashitah khususnya dan penulis-penulis artikel berunsur fitnah yang lain.

"Politik baru Malaysia tidak memerlukan orang seperti ini. Politik baru Malaysia mesti dibangunkan dengan akhlak mulia, saling hormat miskipun berbeda," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Tambahnya, ide membangunkan rakyat serta negara ke arah sebuah tadbir urus kehidupan yang memenuhi atau sekurang-kurangnya menghampiri 'baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur'.

Tegasnya, tindakan memfitnah yang dilakukan oleh Mashitah adalah memalukan kaum wanita dan sangat memalukan kelompok ilmuan Islam.

Katanya, Mashitah dinasihatkan agar bermuhasabah diri dan jangan menjadikan kepentingan politik dirinya membutakan hati dan minda.

"Hargailah ilmu yang telahpun dianugerahi Allah untuknya  dan segeralah kembali kepada ketakwaan yang benar," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya semua manusia melakukan kesilapan tetapi yang paling penting selepas itu dia sedar kemudian memohon maaf kepada orang yang difitnah seterusnya memohon ampun kepada Allah sebelum berdepan dengan hari pembalasan.

"Mashitah adalah orang yang baik tetapi jalan politik yang dipilihnya telah menjadikan dia menjauhi kebenaran," tambahnya.

Semalam Tuan Guru Abdul Hadi memfailkan saman terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berhubung tulisannya yang didakwa mengandungi unsur fitnah.

Saman tersebut telah difailkan Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melalui firma guaman Mazwan dan Nasar.

Abdul Hadi menamakan Mashitah sebagai defendan pertama dan akhbar Sinar Harian sebagai defendan kedua.

Sebelum ini pihaknya sudah meminta Mashitah dan Sinar Harian membuat permohonan maaf secara terbuka, tetapi mereka gagal berbuat demikian.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: