4 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
IPOH - Pemindahan rahim seorang wanita kepada wanita lain menerusi
pendermaan organ dibolehkan dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, walaupun ketiadaan
organ peranakan itu tidak menjejaskan nyawa seseorang, hukum menderma
rahim adalah harus.
"Bagaimanapun, dengan syarat rahim tersebut adalah daripada wanita
yang sudah meninggal dunia dan penerima organ pula merupakan wanita
mandul.
"Pemindahan rahim juga bertujuan untuk mendapat zuriat sesuai dengan
perintah Allah di dalam al-Quran," katanya sewaktu menjawab soalan
seorang peserta pada Forum Pendermaan Organ di Hospital Raja Permaisuri
Bainun (HRPB) di sini semalam.
Selain Harussani, turut menjadi panel pada program anjuran Unit
Pendermaan Organ HRPB ialah Ketua Pengurus Perolehan Transplan
Kebangsaan, Datin Dr. Fadzilah Zowiyah Lela Yasmin Mansor dan Pengurus
Klinikal Transplan Kebangsan, Dr. Mohamed Anis Abd. Wahab.
Pembedahan pemindahan rahim pertama berjaya dilakukan Dr. Omer Ozkan
di Hospital Universiti Akdeniz di Antalya, Turki pada 9 Ogos tahun lalu
melibatkan seorang isteri muda, Derya Sert, 22, yang dilahirkan tanpa
organ peranakan.
Dalam perkembangan sama, Harussani memberitahu, tiga syarat lain
menderma organ dalam Islam adalah penderma mesti disahkan telah
meninggal dunia, mendapat kebenaran keluarga penderma dan tidak
melibatkan urusan jual beli.
Beliau berkata, kebenaran ahli keluarga amat penting kerana dari segi
syarak, mereka berhak terhadap jenazah bakal penderma biarpun individu
terbabit telah menandatangani akujanji pemindahan organ semasa hayatnya.
Fadzilah Zowiyah pula memberitahu, berdasarkan pengalamannya, kes
halangan daripada ahli keluarga dalam isu pendermaan organ berlaku
kerana mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu
hayat bakal penderma.
"Jarang ahli keluarga membantah sekiranya mengetahui lebih awal hasrat si mati untuk menderma organ.
"Oleh itu, saya sarankan individu yang berhasrat untuk terlibat dalam
program tersebut agar menghebahkannya terutama kepada ahli keluarga
terdekat," katanya.
kosmo/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan