Betulkah pandangan Dr Mahathir yang BN akan menang tipis dalam PRU yang
akan datang? Ada yang bertanya samada ramalan ramai yang UMNO akan
tumbang ada kebenarannya.. Dr Mahathir meramalkan kemenangan untuk BN,
tetapi kemenangan yang tipis. Dr Mahathir juga mengakui yang BN akan
menjadi kerajaan yang lemah dan akan menghadapi masalah ‘defection’
selepas pilihanraya dan sebagainya. Mahathir meramalkan yang BN akan
mendapat majoriti 2/3 jika BN menghadapi PRU kali ini dengan lebih kuat
dan melakukan pemilihan calon dengan tepat.
Keupayaan Dr Mahathir untuk menelah keputusan PRU itu menjadi
persoalan kepada yang berfikir. Dalam pada UMNO menghadapi masalah yang
besar sekarang, mana mungkin UMNO itu akan mendapat kemenangan majoriti
2/3 di Dewan Parlimen? Walau bagaimana pun sesiapa sahaja termasuk Dr
Mahathir sendiri berhak untuk meramalkan keputusan PRU itu nanti, kerana
pilihanraya itu pun belum diadakan lagi.
Pihak lain pula ramai yang meramalkan Pakatan Rakyat (PR) akan menang
‘hands down’ dan akan melakukan perubahan besar kepada lanskap politik
buat pertama kali dalam sejarah kemerdekaan negara kita. Dr Mahathir
berkata yang Pakatan Rakyat ini hanya sekumpulan manusia yang
berpakat-pakat untuk melakukan kejahatan. Tetapi semua pakat-pakat yang
beliau lakukan sekarang terbukti sebagai pakat-pakat jahat untuk
kepentingan segelintiran pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja.
Salah satu dari dua ramalan itu akan menjadi kenyataan: samada yang
mengatakan BN akan kalah atau pun pihak yang mengatakan BN akan kekal
memenangi PRU itu nanti. Tetapi apa yang hendak saya nyatakan di sini
ialah, tidak semua ramalan Dr M itu menjadi kenyataan. Ramai yang
berkata Dr Mahathir hanya berkata-kata dengan apa yang beliau hendak
dengar sahaja.
Pada tahun 1985 dahulu beliau meramalkan yang PBS (Parti Bersatu
Sabah) yang baru sahaja wujud tidak akan berjaya mengalahkan parti
Berjaya dan kerajaan yang dipimpin oleh Harris Salleh di Sabah. Dr
Mahathir mempunyai keyakinan seratus peratus yang Berjaya akan dapat
mengekalkan mandat dalam pilihanraya negeri pada tahun itu kerana PBS
adalah parti baru dan tidak mungkin berjaya.
Dr Mahathir begitu berkeyakinan yang Berjaya akan berjaya dan beliau
terus memberikan sokongan terbuka kepada Berjaya untuk mengekalkan kuasa
di Sabah. Dr Mahathir dalam ucapan beliau di Sabah dalam kempen
pilihanraya itu telah berucap dengan penuh keyakinan dan beliau berjanji
yang beliau akan berenang atau tenggelam bersama Berjaya.
Akhirnya Berjaya telah tumpas dengan teruknya sehinggakan Harris
Salleh sendiri telah kalah di kawasannya sendiri, di Tenom. Tetapi Dr
Mahathir berubah pendirian dan tidak mahu tenggelam bersama Berjaya
seperti yang beliau janjikan semasa kempen pilihanraya itu. Dr Mahathir
sedar yang beliau telah tersalah membuat ramalan terhadap keputusan
pilihanraya negeri itu. Dr Mahathir terus berenang dan membiarkan sahaja
Harris Salleh tenggelam sendirian.
Sesungguhnya tidak mustahil jika UMNO mengalami keadaan seperti yang
di alami oleh Berjaya. Apabila rakyat mahukan perubahan, keadaan itu
akan wujud dengan sekelip mata sahaja.
Rakyat akan menolak dan meruntuhkan parti yang telah terlalu lama
menjadi ‘sanctuary’ kepada semua pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni yang
rakus selama ini.
Rasanya Dr Mahathir akan tersalah ramal lagi kali ini... -
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan