31 Oktober 2012

Tuntutan pemandu: Teksi serah memo kepada menteri

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Gerakan Tuntutan Pemandu Teksi Malaysia (Teksi) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Memorandum yang diserahkan di parlimen itu turut dihadiri Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bersama 15 orang wakil dari NGO Teksi.

Pengerusi Teksi, Mohammad Ridzwan Mohamad Daud ketika bertemu Mohamed Nazri menjelaskan, pihaknya mewakili semua pemandu teksi di Malaysia yang meminta Kerajaan Malaysia agar memandang serius segala permasalahan yang dihadapi mereka.

"Kita menuntut agar permit individu diberikan kepada semua pemandu teksi tanpa syarat, malah juga menuntut kadar cukai kenderaan untuk pembelian kenderaan teksi bagi kenderaan nasional dimansuhkan.

"Dalam pada itu kita turut menuntut kebenaran diberikan bagi penggunaan teksi selain dari Proton untuk teksi bandar kerana kos pembaikian dan ketahanan kurang memuaskan," jelasnya.

Beliau yang memberi penerangan tentang kandungan memorandum kepada Mohamed Nazri juga meminta kadar harga teksi dikaji semula termasuk juga kemudahan bas GO KL harus ditelitikan terutama memberi perkhidmatan percuma kepada pelancong atau pun bukan warganegara.

Menurutnya lagi, tuntutan juga ditekankan kepada tidak menghadkan keluasan membawa atau mengambil penumpang seperti di lapangan terbang atau lain-lain tempat.

"Kita juga turut meminta kaunter teksi berkupon yang diletakkan di semua tempat yang telah membebankan penumpang dengan bayaran tambahan.

"Penubuhan satu badan di bawah kerajaan juga perlu bagi menjaga hak dan kebajikan pemandu teksi serta bertindakan tegas terhadap ulat-ulat dan bukan warganegara yang memandu teksi secara bebas," sambung beliau lagi.

Antara tuntutan lain adalah menyeragamkan semula penggunaan pakaian kemeja untuk semua pemandu teksi dan juga perlu memberi penerangan kepada pengguna dan hak-hak pengguna mengenai pengangkutan terutamanya teksi melalui media cetak dan elektronik.

Zuraida yang mengulas turut menekankan agar kerajaan mengambil pandangan yang serius dengan apa yang dituntut ini bagi memastikan hak dan kebajikan pemandu teksi terus terjamin dan terbela.

Mohamed Nazri yang memberi maklum balas berhubung kenderaan Proton sebagai teksi adalah satu perkara yang perlu ditelitikan semula kerana ia tidak bersesuaian dengan keselesaan penumpang.

Memorandum tersebut turut diberikan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azhar Ahmad.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: