19 November 2012

44 saman dalam tempoh 3 jam

44 saman dalam tempoh 3 jam5 Muharram 1433H. [MOD] -

Mohamat Johari memeriksa kenderaan dalam Ops Bersepadu di sekatan Kilometer 2 Bandar Kuala Lipis, kelmarin.
 
KUALA LIPIS - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan sebanyak 44 saman atas pelbagai kesalahan am dalam operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain di dua sekatan laluan ke Bandar Kuala Lipis, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Pahang, Mohamat Johari Mat Nor berkata, operasi selama tiga jam yang berakhir pada jam 12 tengah hari itu membabitkan pemeriksaan ke atas 509 kenderaan.

Menurutnya, pihaknya turut menyita sebuah motosikal kerana kesalahan tanpa cukai jalan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 15 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tanpa lesen memandu, tiada lesen vokasional untuk kenderaan perdagangan (lima kes), dan motosikal tanpa cukai jalan (tujuh kes).

"Kami turut mengeluarkan saman bagi kesalahan cermin gelap (lima kes), nombor plat (tujuh kes), kenderaan tidak diperiksa Puspakom (satu kes) dan empat untuk lain-lain kesalahan," katanya sempena Ops Bersepadu, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Penguat Kuasa Cawangan JPJ Raub, Dasiman Mat Zain.

Mohamat Johari berkata, operasi bersepadu itu disertai seramai 60 anggota JPJ, polis trafik, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurutnya, Polis Unit Narkotik turut menguji sebanyak 16 sampel urin pemandu dan penumpang kenderaan.

"Daripada jumlah itu, dua orang dikesan positif dadah jenis morfem," katanya.

Menurutnya, operasi itu turut membabitkan anggota JPJ cawangan Bentong, Raub dan Kuantan untuk memastikan penguatkuasaan keselamatan kenderaan serta jalan raya membabitkan pemeriksaan lesen pemandu, cukai jalan dan lesen vokasional bagi kenderaan perdagangan.

"Kita akan melaksanakan modus operandi sama di Jalan Persekutuan dan lebuh raya pada penghujung tahun ini khususnya pemeriksaan treler, bas persiaran serta motosikal," katanya.

SINAR/-

Tiada ulasan: