19 November 2012

Sekalipun binti Anwar berkata begitu

5 Muharram 1433H. [MOD] -

NURUL Izzah Anwar (Puteri), Naib Presiden PKR sudahpun menjelaskan apa yang dimaksudkannya tentang kebebasan beragama untuk semua, tetapi ia tidak  dipedulikan oleh banyak orang.

Tetapi mereka mengira anak sulung Anwar itu seorang yang sudah berdosa.

Begitulah dunia kita yang dikelilingi oleh orang-orang yang bebal yang sekaliannya tidak sedia belajar untuk mendengar hujah.

Dia sudah membuat penjelasan. Yang dimaksudkannya tidak seperti yang ditohmah terhadapnya. Mengapa penjelasan itu tidak mahu didengar?

Jika penjelasannya belum memuaskan, maka dilanjutkan soalan terhadapnya, tetapi tidak boleh dia dicap sebagai orang Islam yang sudah tidak boleh dipakai lagi.

Sekalipun Nurul Izzah betul berkata begitu dan dia berdosa kepada Allah atas kejadian itu, Allah tidak menutup pintu taubat kepadanya.

Dia boleh bertaubat dan Allah memang suka kepada hambaNya yang bertaubat. Tidakkah Allah itu maha menerima taubat orang-orang yang dikehendakinya.

Kalau pun dalam apa yang ditohmah itu Izzah dikira murtad, hukum murtad yang disabitkan ke atas seseorang tidak terus dipancung saja. Dia diperintah taubat dulu oleh hakim. Jika dia sudah bertaubat, maka hukum tidak dijalankan ke atasnya.

Apakah taubatnya Allah terima atau tidak, bukan kita sebagai makhluk boleh mendahului bagi mengatakan taubatnya  diterima atau tidak. Hanya Allah yang berkuasa menentukannya. Bagi manusia, apabila  diketahui seseorang itu bertaubat, maka tidaklah wajar ia ditakwil lagi.

Jika puteri Anwar itu sah berdosa dalam tohmah terhadapnya, dosa itu adalah terhadap Allah, bukan terhadap manusia. Dosa terhadap Allah, Allahlah yang mengampunkannya. Dosa hamba terhadap Allah adalah lebih mudah terampun dari dosa terhadap manusia. Dosa terhadap manusia, kita terpaksa cari manusia itu sampai dapat untuk minta maaf kepadanya. Kalau orang itu mati sebelum kita minta maaf, maka bagaimana kita mahu lepas dari dosa itu. Tetapi dosa kepada Allah,  Ia ada  di mana-mana kita boleh bertaubat.

Cuma kalau dosa yang kita buat itu menyebabkan orang lain terbabit, misalnya dia berdosa disebabkan oleh anjuran kita, maka taubat kita mesti  dibuat di khalayak umum, umumkan apa dosa yang kita buat? Tidak boleh kita bertaubat kepada Allah saja seorang diri.

Izzah telah minta peguamnya menyaman pihak yang mengikutnya telah memutar belit kenyataannya. Sebelum mahkamah memutuskan Izzah bersalah, kita anggap  dia orang yang benar.

Apapun kalau dia ada dosa, dosanya bukanlah rasuah, menggelap duit negara, membunuh orang dan sebagainya, dosa seperti itu tidak selesai dengan bertaubat, tetapi mestilah diserahkan kepada keputusan mahkamah. Bagi orang Islam mestilah mengikut perundangan Islam.

Mursyidul Am Tok Guru  Nik Aziz, Presiden PAS Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang  dan Ketua Dewan Ulama, Dato’ Harun Taib mengelak dari menghukum Nurul Izzah  tanpa usul periksa kerana  tidak mahu mengata murtad kepada orang yang tidak diketahui murtadnya  dan tidak mahu mengkafirkan orang yang tidak pasti kafirnya.

harakah/-

Tiada ulasan: