28 Disember 2012

Gaji minimum bebankan peniaga kecil luar bandar

14 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: “Sekiranya sebelum ini, kami dapat mengambil beberapa orang pekerja dengan gaji yang sederhana, kami terpaksa mengurangkan bilangan pekerja seminima mungkin untuk memenuh keperluan perintah gaji minimum ini.

“Jika keadaan terpaksa, perniagaan akan dikecilkan saiznya dan beberapa orang pekerja terpaksa diberhentikan,” ujar Che Aziz Hashim dalam emel yang dihantar kepada Harakahdaily.

Beliau yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di luar bandar meluahkan demikian berhubung arahan gaji munimum yang berkuatkuasa 1 Januari nanti.

Berikut ialah pandangan beliau.

Berkuatkuasa  1 Januari 2013, perintah gaji minimum 2012 P.U(A) (214) akan berjalan seluruh negara dengan gaji minimum semua pekerja ialah RM900. Pekerja di seluruh negara menunggu-nunggu saat ini dengan penuh kegembiraan.

Sebagai majikan yang tinggal di luar bandar yang  menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan akan merasai kesan yang besar. Pendapatan bulanan hanyalah sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan membayar gaji pekerja secara mimimum sekitar RM600 seorang. Dengan pendapatan ini dapatlah beberapa pekerja diambil. Gaji pekerja ini sesuai dengan kehidupan di sebuah pekan kecil yang sederhana kehidupannya.

Gaji minimum yang ditetapkan RM900 ini amat berpatutan sekiranya perniagaan ini  dijalankan di sebuah bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan bandar besar yang lain. Pendapatan dari perniagaan amat lumayan dan mampu untuk membayar pekerjanya lebih daripada itu.

Sebagai majikan, kami peniaga kecil di luar bandar terpaksa memikirkan semula untuk menggaji pekerja. Sekiranya sebelum ini, kami dapat mengambil beberapa orang pekerja dengan gaji yang sederhana, kami terpaksa mengurangkan bilangan pekerja seminima mungkin untuk memenuh keperluan perintah gaji minimum ini. Jika keadaan terpaksa, perniagaan akan dikecilkan saiznya dan beberapa orang pekerja terpaksa diberhentikan.

Bayangkan sebelum ini kami dapat membantu masyarakat luar bandar menambah pendapatan mereka dan membantu meringankan bebanan keluarga. Apabila pengurangan pekerja berlaku, amatlah malang sekali  kerana banyak keluarga di luar bandar akan kehilangan punca pendapatan.

Sepatutnya, sesuatu yang akan dilaksanakan dikaji lebih mendalam dan dibahaskan supaya mendapat maklum balas dari semua pihak. Perintah ini boleh dilaksanakan mengikut wilayah dan kawasan sesuai dengan pendapatan dan kuasa beli pengguna di kawasan tersebut.Tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini akan mengakibatkan kesan negatif kepada negara.

harakah/-

Tiada ulasan: