MAKKAH: Sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang mengandungi 5,000
bilik akan dibuka dekat Masjidil Haram di sini sebelum Ramadan sebagai
sebahagian daripada projek perumahan Jabal Omar, kata Pengerusi Lembaga
Syarikat Pembangunan Jabal Omar, Abdul Rahman Faqeeh.
“Hotel baru itu akan diuruskan oleh Hilton International,” kata ahli
perniagaan Arab Saudi itu dan menambah, hotel baru itu mempunyai dua
menara 20 tingkat setiap satu.
Hotel itu terletak di bahagian S1, kawasan projek itu dan akan menghadap laman sebelah barat Masjidil Haram.
Terdapat tempat solat untuk muslimin dan muslimat dan juga pusat beli-belah empat tingkat.
Terdapat tempat solat untuk muslimin dan muslimat dan juga pusat beli-belah empat tingkat.
Fasa pertama termasuk membina empat lagi hotel; Marriot Makkah, Hyatt Makkah, Conrad Makkah dan Hotel Konvensyen Hilton Makkah, kata Abdul Rahman.
Katanya, projek Jabal Omar ini akan membuka 11,000 peluang pekerjaan kepada warga Arab Saudi selepas tiga fasa pembinaannya selesai, termasuk 3,800 pekerjaan di bidang perhotelan.
“Sepanjang 18 bulan akan datang, kami akan mengambil 1,350 pekerja Arab Saudi,” katanya.
Abdul Rahman berkata, beratus-ratus pekerja Arab Saudi akan dilatih untuk bekerja di Hotel Hilton pertama sebelum bulan Ramadan.
Akhbar Al-Sharq melaporkan, syarikat itu merancang untuk mengambil 4,000 lagi pekerja Arab Saudi dalam masa tiga tahun.
Syarikat Jabal Omar membangunkan kawasan seluas 2.2 juta meter persegi dekat Masjidil Haram.
Antara rancangan pembangunan di kawasan itu termasuk, 38 menara hotel dan pusat beli-belah terbesar di negara ini.
Projek itu akan dapat memenuhi keperluan peningkatan jumlah jemaah haji dan umrah.
Kira-kira 10 juta jemaah tiba di Makkah sepanjang tahun dan 3 juta jemaah datang ke Makkah menunaikan haji setiap tahun.
Tiga puluh lapan hotel yang dalam pembinaan, diuruskan oleh 28 syarikat dan menambah 13,500 bilik lagi dalam industri perhotelan apabila ia siap lima tahun lagi, kata seorang pegawai kanan.
Projek itu dibina dalam lima fasa dan menelan belanja Sr20 bilion (RM16.32 bilion). - Arab News
Tiada ulasan:
Catat Ulasan