28 Disember 2012

Jadi pelarian angkara anak

14 Safar 1433H. [MOD] -
 

IPOH: Sepasang suami isteri warga emas terpaksa menjadi ‘pelarian’ dan menyorok di beberapa hotel murah berikutan bimbang dibunuh samseng along selepas anak mereka gagal menjelaskan hutang sindiket haram itu.

Mangsa, Chan Kwai Woh, 77, dan isterinya, Yong Yin Yoke, 70, terpaksa berpindah randah dari satu hotel ke hotel yang lain sejak 17 Disember lalu selepas kumpulan samseng along menyerang rumah mereka di Taman Cempaka, di sini, gagal menjejaki anak lelaki mereka.

Chan yang bekerja sebagai juruteknik sambilan berkata, musibah itu mula menimpanya selepas anak lelaki mereka yang berusia 48 tahun membuat pinjaman wang dalam jumlah besar daripada along.
Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas rumahnya dibaling dengan cat merah oleh sekumpulan along pada awal pagi 15 Disember lalu.

“Saya kemudian menyoal anak lelaki kami berhubung punca insiden itu, namun anak lelaki kami menghilangkan diri keesokan harinya dari rumah.

“Beberapa orang samseng kemudian muncul di hadapan rumah dan mengugut kami supaya melangsaikan semua hutang itu. Jumlah hutang diambil terlalu banyak dan kami tidak mampu melangsaikannya,” katanya ketika membuat aduan kepada ketua biro aduan MCA Ipoh, Datuk Lee Kon Yin.

Dia yang bimbang keselamatan nyawanya bertindak meninggalkan rumah dengan hanya membawa beberapa helai pakaian sebelum tinggal menyewa di beberapa hotel murah di bandaraya ini.

“Saya meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa hinggakan ubat penyakit darah tinggi kami turut tertinggal di rumah. Kami kemudian mencari perlindungan dan menyorok di beberapa hotel murah.
“Kami berpindah-randah dari satu hotel ke hotel yang lain kerana bimbang dijejaki oleh samseng along,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, dia tertekan dengan kejadian itu dan menyifatkan anak lelakinya itu tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak teragak-agak memutuskan hubungan kekeluargaan dengan anak kami itu jika masalah ini berterusan. Saya rayu supaya along membebaskan kami dan mencari anak kami itu untuk menuntut semua hutang berkenaan.

“Kami sudah tua dan tidak lagi berdaya. Entah sampai bila kami perlu hidup dalam keadaan ketakutan dan lari dari rumah sendiri,” katanya sedih.

Difahamkan, anak lelaki mangsa sebelum ini menetap di Australia selama 20 tahun sebelum pulang ke tanah air pada Jun lalu.

“Saya tidak tahu aktiviti dan jenis perniagaan dijalankannya kerana dia tidak pernah bercerita. Saya harap masalah ini dapat diatasi segera,” katanya.

metro/-

Tiada ulasan: