04 Januari 2013

Loya bau busuk, berulat

Loya bau busuk, berulat21 Safar 1433H. [MOD] -

Masalah saluran sampah yang tersumbat di tingkat dua dan tiga Blok A, Flat Larkin Perdana menyebabkan kesukaran kepada penduduk.
 
JOHOR BAHRU – Masalah saluran pembuangan sampah tersumbat di bangunan 17 tingkat yang berlarutan sejak lebih sebulan lalu menyebabkan penduduk Blok A, Flat Larkin Perdana, di sini terpaksa menahan loya dan bau busuk setiap hari.

Kerosakan pada saluran pembuangan sampah dikatakan penyebab lubang saluran berkenaan dipenuhi sampah dan melimpah.

Lebih menjijikkan lagi apabila sampah berkenaan dipenuhi ulat yang turut masuk ke dalam rumah penduduk akibat tersangkut pada saluran pembuangan sampah berkenaan selama berhari-hari.

Salah seorang penduduk, Husni Abdul Rahman, 42 berkata, masalah itu sudah berlarutan lebih sebulan lalu sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada penghuni flat akibat bau yang terlalu busuk.

“Keadaan ini menyebabkan kesukaran kepada kami juga untuk membuang sampah terutamanya bagi yang tinggal di tingkat paling atas,” katanya.

Selain itu kata Husni, masalah yang membabitkan kira-kira 272 unit rumah flat 17 tingkat itu pernah diajukan kepada pihak yang berkaitan namun menemui jalan buntu selepas tiada jalan penyelesaian diambil.

“Perkara ini telah banyak kali dikemukakan kepada pihak berwajib, tetapi pelbagai alasan diberikan dan masalah ini akan ditolak ke pelbagai jabatan berlainan apabila setiap kali ia dirujuk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan mendapat perhatian sewajarnya dari pihak yang berkenaan agar kesukaran yang dihadapi dapat diatasi segera.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SWM Enviroment Sdn Bhd (SWM), Shahrul Amir Abd Rahim berkata, masalah yang dihadapi penduduk perlu diajukan kepada pihak pengurusan bangunan flat berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Sebarang masalah berkaitan penyelenggaraan dan fasiliti bangunan flat perlu dirujuk kepada pihak pengurusan bangunan.

“SWM hanya bertanggungjawab mengutip sampah dari pusat pengumpulan sampah di bawah bangunan.

“Namun kami menyarankan penduduk agar membuang sampah pukal mereka seperti perabot atau peralatan dapur di bahagian bawah pusat pengumpulan bagi mengelakkan masalah saluran sampah tersumbat,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: