DAMSYIK - Kedudukan kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad di
sekitar ibu kota Syria di sini digegarkan dengan pertempuran sengit dan
bedilan meriam untuk hari kedua berturut-turut semalam ketika pihak
tentera melancarkan serangan besar-besaran yang dilaporkan telah meragut
55 nyawa dalam tempoh 24 jam.
Antara yang terbunuh ialah lima orang awam termasuk tiga wanita.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, semua
mangsa maut terkena peluru mortar di kem pelarian Palestin di Yarmuk
yang terletak di pinggir bandar raya ini.
Menurut kumpulan itu, sekurang-kurangnya 19 orang awam, 28 penentang
dan lapan askar terbunuh sejak serangan tersebut dilancarkan awal
semalam.
Serangan tentera rejim Bashar itu ditumpukan di bahagian selatan dan pinggir bandar raya ini.
Kawasan tersebut merupakan kubu kuat penentang rejim Bashar.
Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara
kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan
tentera Syria berlaku pada Mac 2011.
Para penentang itu mahu Bashar digulingkan kerana kegagalannya
membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara selepas
kebangkitan penduduk berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. -
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan