18 Rejab 1434 H. [MOD] -
TUMPAT - Tiga sekeluarga di Kampung Baru Pasir Pekan di sini, terkejut apabila telaga yang digunakan sejak 30 tahun mengeluarkan minyak dipercayai petrol.
Kejadian itu disedari Zulnurain Ahmad, 28, ketika membersihkan telaga di rumahnya dua minggu lalu.
“Semasa saya ceduk air telaga dengan timba, saya nampak air telaga ini berminyak dan berbau seperti minyak petrol.
“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi selepas ditapis ia seakan minyak petrol,” katanya.
Lebih meyakinkan Zulnurain, minyak yang diambil dari telaga itu apabila dituangkan ke dalam tangki mesin rumput, ia berfungsi dan apabila dicucuh api, ia terbakar.
Air telaga berbau minyak petrol
Dengan penemuan itu, misteri air telaga Zulnurain berbau minyak petrol selama empat bulan lalu terjawab.
Zulnurain berkata, dia amat risau keselamatan keluarganya kerana telaga tersebut berada di dalam rumah.
“Saya ada anak kecil berusia lapan bulan, bau petrol dari telaga itu memenuhi ruang rumah saya.
“Bukan sahaja mendatangkan pencemaran bau, tetapi boleh mengundang kebakaran dan memudaratkan kesihatan saya kerana air telaga itu sudah tercemar,” katanya.
Zulnurain berkata, sejak penemuan minyak itu, hampir 100 liter minyak dipercayai petrol berjaya dikumpulkan dan diletakkan dalam tangki mesin rumput.
Dua telaga jiran Zulnurain turut terlibat
Tinjauan Sinar Harian di kampung tersebut mendapati dua lagi telaga iaitu di rumah Nik Yusof Nik Salleh, 75, dan Ahmad Othman, 69, turut berbau minyak petrol dan airnya berminyak.
Didapati telaga milik Nik Yusof yang berada di belakang rumahnya seperti ada mata air bercampur minyak membuak keluar dari celah kerek telaga itu.
Dari mana minyak ini datang terus menjadi misteri, bagaimanapun tinjauan wartawan mendapati kira-kira 200 meter dari kediaman mereka, beroperasi sebuah stesen minyak.
Khuatir disambar api
Isteri Ahmad, Salbina Mohamad, 46, berkata, sejak dia mengetahui telaganya bercampur dengan minyak dipercayai petrol, dia tidak memasak khuatir disambar api.
“Permukaan telaga saya yang terletak di dalam rumah dipenuhi dengan minyak, saya khuatir ia disambar api ketika saya sedang memasak,” katanya.
Menurutnya, akibat meminum air telaga tersebut, suaminya Ahmad sakit, namun alhamdulillah semakin pulih selepas berhenti menggunakan air dari telaga itu.
Lapor kepada Jabatan Alam Sekitar
Salbina berkata, masalah air telaga bercampur minyak di percayai petrol sudah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar.
“Kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana ia melibatkan keselamatan kami tiga sekeluarga di sini.
“Bila-bila masa sahaja kebakaran boleh berlaku, sekiranya ada puntung rokok tercampak dalam telaga ini, atau apa sahaja sumber api berada berhampiran telaga ini,” katanya.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan