18 Rejab 1434 H. [MOD] -
KULIM - Penduduk Kampung Batu 4½ Sungai Ular digemparkan dengan 'gangguan' suara mengilai 'perempuan' meminta tolong.
Kakitangan awam, Aziz Othman yang menyewa rumah di kampung itu berkata, kejadian berlaku beberapa hari lalu sebaik sahaja dia tiba di rumah selepas selesai bekerja.
Menurutnya, suara menyeramkan itu didengari kira-kira jam 1.30 pagi apabila dia berada di bahagian dapur rumahnya untuk minum air, namun terdengar bunyi cakaran di atap bagaimanapun tidak diendahkan.
Dia kemudiannya pergi ke ruang tamu untuk berehat, sebelum terdengar bunyi tapak kaki berjalan di atas atap rumahnya.
Cangkung atas bumbung
Aziz berkata, sebaik sahaja bunyi objek berjalan itu terhenti, dia terkejut apabila terdengar suara perempuan mengilai dengan kuat di hadapan rumah.
“Ketika itu motosikal Kawasaki RR 150 yang saya miliki berada dalam rumah. Saya menolak motosikal saya keluar perlahan-lahan. Sebaik sahaja mengunci pintu rumah saya menghidupkan enjin motosikal.
"Alangkah terkejut apabila saya ternampak seorang wanita berambut panjang bermata merah menyala bercangkung di atas bumbung sambil memusing-musingkan kepalanya.
"Bimbang berlaku kejadian tidak diingini, saya terus meninggalkan rumah. Dari apa yang saya nampak, bunyi cakaran di atas atap itu berpunca dari rambutnya yang panjang,” katanya kepada Sinar Harian.
Pengalaman menakutkan
Seorang suri rumah, Fatimah Abdul Ghani yang sudah enam tahun tinggal di kampung itu berkata, lembaga yang dilihat oleh mangsa merupakan puntianak yang sering terbang dan bertenggek di atas pokok dan atap rumah penduduk kampung.
Menurutnya, kejadian itu jarang berlaku dan ia menakutkan bagi mereka yang tidak pernah mengalami kejadian aneh seperti itu.
Katanya, sebelum mengilai, penduduk kampung akan terdengar bunyi orang meminta tolong dari jarak 50 meter di dalam kawasan ladang kelapa sawit di bahagian belakang rumah mereka.
“Saya memang ada terdengar suara perempuan mengilai dan ketawa dengan nyaring di bahagian hadapan rumah mangsa, bagaimanapun tidak saya hiraukan. Ini adalah kerana lembaga itu belum pernah masuk ke dalam rumah atau ganggu penduduk kampung.
"Selalunya lembaga yang dikatakan puntianak ini hanya akan berjalan di atas bumbung rumah sebelum terbang ke dalam hutan. Ramai kalangan penduduk di sini yang pernah mengalami pengalaman menakutkan itu,” katanya.
Berlaku lewat malam
Seorang lagi penduduk, Zamri Othman berkata, kejadian aneh itu sering berlaku di kampung itu terutama pada waktu lewat malam, dimana lembaga dimaksudkan itu juga boleh menyerupai penduduk kampung lain dan berjalan berseorangan di tepi jalan.
Menurutnya, tanah yang didiami sekarang ini diwarisi dari keluarganya yang sudah meneroka kawasan itu sejak 100 tahun lalu.
Katanya, suatu ketika dahulu penduduk kampung menggunakan bantuan ilmu ghaib dan ilmu hitam selain menjadikan makhluk halus sebagai hamba.
Selain menjaga kawasan kebun dan ternakan, makhluk ini juga diarahkan untuk melakukan kerja berat seperti mengerjakan bendang dan banyak lagi.
“Apabila zaman berubah, ahli keluarga mereka yang membela atau mengamalkan ilmu hitam ini tidak mahu mewarisi ilmu yang dipelajari oleh nenek moyang mereka dahulu.
"Ini mengakibatkan kebanyakan makhluk halus itu tidak bertuan dan merayau di sekitar kawasan kampung,” katanya.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan