Korea Selatan tolak tawaran dialog Korea Utara

Yun menyatakan pendirian Korea Selatan ketika memberi taklimat di Beijing.
SEOUL - Menteri Luar Korea Selatan Yun Byung Se menolak pelawaan Korea Utara untuk menyambung semula rundingan pelucutan senjata nuklear.

Yun berkata, Korea Selatan menolak sebarang tawaran dari negara itu kerana mereka belum berjanji mahu memberhentikan program nuklear yang mencemaskan beberapa negara antarabangsa yang lain.

“Pendirian kami tegas. Kami tidak mahu dialog demi dialog tanpa keputusan kerana tindakan itu sebagai membuang masa dan tenaga,” katanya dipetik dari laporan AP.

Menurutnya, apa yang penting sekarang adalah Korea Utara perlu mengemukakan janji dan benar-benar ikhlas untuk memberhentikan program terbabit kepada seluruh masyarakat dunia.

“Tindakan Korea Utara selama ini dilihat seperti memperbodohkan dunia dengan melakukan pelbagai ugutan secara terang-terangan. Kami tidak boleh menerima tindakan melampau itu,” katanya. 

Kenyataan itu disuarakan beliau ketika pertemuan antara Duta Khas Korea Selatan dan Presiden China Xi Jinping di Beijing.

SINAR/-