1 Rejab 1434 H. [MOD] -
Tahniah kepada BN kerana berjaya mengekalkan kuasa pemerintahan di Malaysia, dan tahniah juga kepada PR kerana boleh mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan di tangan mereka. Semoga mandat yang diberikan rakyat kepada parti berkenaan dapat digalas dengan baik sekali gus dapat melaksanakan amanah negara dan tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaiknya.
Cuma kepada Ustaz Azizan yang sebelum ini memimpin Kedah saya tidak berhasrat hendak ucap takziah tetapi ingin menegaskan bahawa kegagalan Azizan mengekalkan Kedah suatu tazkirah daripada Allah. Jadi, buatlah perubahan sikap yang positif kepada rakyat apatah lagi kepada wartawan untuk masa depan. Mereka semua akan aset negeri Kedah yang amat bernilai. Sekali mereka berkecil hati, walaupun kerajaan boleh memberi kemajuan kepada mereka, luka mereka sukar dirawat.
PAS dalam hal ini ada pengalaman ngeri, bukankah kita pernah tawan Terengganu, tetapi setelah menang rakyat terutama musuh politik tersinggung. Bayangkan kalau kita boleh menjaga hati mereka, musuh akan menjadi kawan. Itulah yang gagal dilakukan oleh kerajaan PAS di Terengganu pada masa itu. Malangnya Azizan tidak belajar daripada kegagalan itu.
Begitu juga dengan semua calon PR yang bertanding di kerusi Parlimen yang sememangnya sudah dikuasai selama 5 tahun tetapi dapat dirampas BN semula, ingin saya mengajak kalian agar muhasabah diri, mengapa mereka boleh kalah setelah menguasai 5 tahun. Saya tidak pasti apakah 15 kerusi parlimen itu sudah dianggap selamat oleh mereka lalu tidak diberi perhatian serius oleh calon atau pun mereka sudah usahakan cuma tersalah strategi.
Perlu dijelaskan di sini, masyarakat Melayu amat berbeza dengan masyarakat Cina di sudut cara berfikir. Masyarakat Melayu bermentaliti duit maka apa yang difikirkan ialah duit. Berbeza dengan orang Cina, mereka tidak fikirkan duit kerana mereka memang pandai cari duit malah sudah kaya. Yang mereka fikirkan ialah keamanan supaya dengan itu mereka boleh berniaga dengan senang dan maju. Mereka juga tidak mahu serabutkan fikiran mereka dengan cerita mengumpat, fitnah dan rasuah dalam kalangan orang Melayu.
Berdasarkan itu cara kempen kepada kumpulan sasar adalah tidak sama. Oleh sebab itu untuk orang Melayu, selain menyuntik keyakinan tentang kemampuan parti, mereka mahu tahu apakah keuntungan di sudut kewangan yang boleh mereka perolehi. Mereka juga mahu tahu apakah jaminan yang membolehkan mereka tinggal di negara ini dengan senang lenang tanpa perlu berhijrah jauh. Persoalannya adakah sepanjang 5 tahun menjadi wakil, sudahkah semua itu diberikan penjelasan kepada rakyat.
Bagi orang Cina pula mereka tidak susah untuk berkempen seperti orang Melayu. Oleh sebab itulah DAP mudah memukau mereka, lalu dengan itu mereka secara ramai-ramai memberi undi kepada DAP, PAS dan PKR. Cara kempen inilah yang menyebabkan kerusi yang dipertandingkan oleh DAP mendapat kemenangan besar. Turut mendapat kemenangan mana-mana kerusi PAS dan PKR yang dihadiri oleh pemidato DAP. Namun tidak dinafikan juga orang Melayu di kawasan tersebut tidak lagi berfikir tentang duit.
Berbeza dengan 15 kerusi yang kalah, mentaliti orang Melayu di situ masih pada tahap rendah iaitu berfikir duit. Biasanya untuk kerusi ini tidak melibatkan pemidato DAP, dan kalau ada pun mereka tidak bercakap soal duit. Benar, mereka janjikan turun harga minyak, hapus tol dan pendidikan percuma, tetapi hujah yang diberi tidak meyakinkan. Dengan sebab itu hujah mereka dapat dikalahkan oleh pemidato BN yang sentiasa menabur janji duit. Tegasnya, calon dan pemidato tidak begitu memahami kehendak rakyat setempat.
Sebagai bukti perhatikan senarai 15 kerusi yang dirampas BN:
1) Titiwangsa (PAS)
2) Kuala Selangor (PAS)
3) Pendang (PAS)
4) Balik Pulau (PKR)
5) Bagan Serai (PKR)
6) Kulim-Bandar Baru (PKR)
7) Hulu Selangor (PKR, menang pada 2008 tetapi tewas dalam pilihan raya kecil 2010)
8) Padang Terap (PAS)
9) Jerai (PAS)
10) Sik (PAS)
11) Merbok (PKR)
12) Baling (PAS)
13) Machang (PKR)
14) Ketereh (PKR)
15) Tanah Merah (PKR)
Walau bagaimanapun semua yang berlalu itu, biar menjadi sejarah. Untuk masa depan, PR kena ubah strategi seperti yang digambarkan di atas. Boleh mula bertindak pada hari ini demi masa depan negara dan rakyat.
Guna Pendekatan Surah al-Fath
Cuma untuk hari ini saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua wakil rakyat yang telah menang dalam PRU 13 ini terutama yang berjaya membentuk kerajaan agar mereka segera berisytighfar daripada dosa terutama semasa kempen. Seterusnya sujud kepada Allah tanda terima kasih kerana demikian itu dianjurkan oleh Allah seperti yang terdapat dalam surah al-Fath.
Setelah itu sebagai pemerintah sebaiknya rapatkan hubungan di antara pemerintah dengan pembangkang dan campak jauhkan rasa permusuhan kerana parti. Malah kalau boleh jadikan mereka sebagai rakan dalam pemerintahan. Ingatlah pembangkang dalam sesebuah kerajaan amat penting kerana mereka boleh mengawal kesetabilan sesebuah kerajaan.
Sebenarnya pembangkang dalam sesebuah kerajaan berperanan untuk membetulkan kesilapan kerajaan terutama dalam pengurusan dan pentadbiran. Malah pembangkang boleh mengutarakan idea yang baik dalam membangunkan negara. Sesungguhnya pemerintah yang baik akan mengambil pandangan mereka dan melaksanakannya jika cadangan itu menguntungkan rakyat.
Pendekatan di atas harus sama-sama dipraktikkan oleh kerajaan pusat mahupun negeri. Malah bagi kerajaan negeri yang berlainan parti dengan pemerintah pusat harus merapatkan hubungan dengan kerajaan pusat. Hal ini kerana negeri-negeri tersebut iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sebahagian daripada Malaysia. Tetapi jangan salah anggap, tindakan tersebut bukan bermaksud kita perlu melutut sembah seperti pengemis sebaliknya bertemu anak dengan bapa yang sering berselisih pendapat.
Sebenarnya, kerajaan negeri dalam keadaan apapun tidak wajar bermusuhan dengan kerajaan pusat, apatah lagi kerajaan pusat tidak sepatutnya memusuhi kerajaan negeri kerana negeri itu sebahagian daripadanya juga. Sikap menganaktirikan kerajaan yang berlainan parti adalah tidak sihat. Hal ini kerana pemerintah kerajaan negeri itu hakikatnya menolong kerajaan pusat dalam mentadbir negerinya mengikut kaedah atau pendekatan mereka.
Berdasarkan itu kerajaan negeri tersebut berhak mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat secara saksama mengikut keperluan negeri tersebut. Kerajaan pusat pula bertanggungjawab memberikan peruntukan itu sama seperti negeri-negeri lain menerimanya. Jadi, supaya hak dan tanggungjawab itu terlaksana dengan sempurna, kedua-dua pihak perlu hilangkan permusuhan.
Di sini suka saya mengambil iktibar bagaimana kerajaan Kelantan yang sekian lama memerintah negeri itu tanpa peruntukan yang secukupnya daripada kerajaan pusat. Semua ini kerana sikap bermusuhan yang terus disemai dalam jiwa pemimpin negeri dan pusat. Percayalah jika wujud hubungan baik antara kedua-duanya peruntukan yang sewajarnya akan sampai ke negeri tersebut tanpa sebarang ragu.
Jadi, sesuai dengan perlantikan Menteri Besar baru Kelantan, YAB Ahmad Yaakob, saya berharap beliau boleh mulakan tugas berdasarkan surah al-Fath, kemudian berbaik-baik dengan kerajaan pusat. Semoga dengan itu peruntukan pusat akan turun ke Kelantan sama seperti negeri lain juga. Bukan lagi melalui wang ehsan yang hanya disampaikan melalui UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan