11 Mei 2013

Najib lawat Azizan di HPP

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

najib

Najib dan Rosmah Mansor melawat Azizan Abdul Razak di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang di Georgetown hari ini.- Foto Bernama
GEORGE TOWN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak di wad unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang (HPP).
    
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada kira-kira 1.30 tengah hari dan meluangkan masa bersama Azizan dan anggota keluarganya kira-kira 15 minit.
    
"Saya baru melawat Azizan dan Alhamdulillah pembedahan sudah berlangsung.Beliau dalam keadaan stabil dan sedang diberi rawatan terbaik," katanya kepada pemberita di sini.
    
Najib berdoa agar Azizan yang melalui pembedahan yang agak serius supaya cepat sembuh dan pulih.
    
"Sebagai pemimpin, walaupun Azizan dalam parti yang lain, saya hormati beliau sebagai sahabat. Terima kasih kepada ahli keluarganya kerana terima kedatangan saya dengan baik," katanya.
   
Najib berkata bantuan yang sepatutnya akan dihulurkan kepada Azizan untuk memastikan tidak ada masalah daripada segi perbelanjaan.
    
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut melawat Azizan pada kira-kira 11.20 pagi tadi bersama-sama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah yang baru.
    
Sementara itu, setiausaha akhbar kepada Azizan, Mohd Helmi Khalid meminta jasa baik kepada orang ramai yang ingin melawat Pesuruhjaya Pas Kedah itu tidak berbuat demikian bermula esok bagi memberi ruang kepada beliau untuk berehat.
    
"Saya mewakili ahli keluarga beliau (Azizan) meminta orang ramai memberi kerjasama kerana kita ingin memberi keselesaan kepada pesakit atas nasihat pihak hospital," katanya.
 
Beliau berkata keadaan kesihatan Azizan menunjukkan pekembangan positif dan beliau telah membuka mata sebanyak empat kali dari pukul 6.30 pagi hingga 8.30 pagi ini.
    
Mohd Helmi turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir pengunjung yang  memuat naik gambar Azizan dalam keadaan sakit di laman sosial dan berharap kejadian itu tidak berulang lagi bagi menghormati anggota keluarga beliau.
    
Azizan, 69, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis pada Khamis lepas.
    
Beliau dipindahkan ke HPP pada Rabu lepas dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya sejak Isnin lalu. 

- Bernama

Tiada ulasan: