11 Mei 2013

Suami maut kena tiga das tembakan

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

Suami maut kena tiga das tembakan

Polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
ALOR SETAR - “Sebaik keluar dari rumah, saya dapati suami sedang terbaring berlumuran darah di koridor flat kami,” kata G Parameswary, 29, selepas melihat suaminya yang mati dipercayai akibat terkena tiga das tembakan dalam satu insiden pergaduhan berhampiran rumahnya di Flat Taman Setia Jaya, dekat sini.

Mangsa, M Nagenthiran, 30, merupakan seorang penarik kereta ditemui seorang penghuni flat berkenaan kira-kira 15 meter dari kediamannya pada jam 12.30 tengah malam kelmarin, sebelum bertindak memaklumkannya kepada polis.

Parameswary berkata, dia bersama dua anaknya yang berusia tiga dan lima tahun sedang tidur ketika kejadian dan tidak menyedarinya berikutan tidak mendengar sebarang bunyi dari luar kediaman mereka.

“Hanya selepas seorang anggota polis datang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu, barulah saya menyedari suami sudah mati apabila melihat badannya yang berlumuran darah terbaring kaku di situ.

“Jam 6 petang tadi (kelmarin), adalah kali terakhir saya berjumpa dengan suami,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terdengar berlakunya pertengkaran antara beberapa lelaki dan hanya melihatnya melalui tingkap rumah.

Katanya, sebaik sahaja menutup tingkap, dia terdengar satu bunyi kuat seakan-akan tembakan pistol hingga menimbulkan ketakutan dan seterusnya menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian yang berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Savaranan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Mangsa maut di tempat kejadian berikutan terdapat satu kesan tembakan di kepala dan dua di belakang badannya.

Polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai kenalan mangsa untuk membantu siasatan berhubung kejadian.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setakat ini pihak kami masih menyiasat motif kejadian itu,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: