Harakahdaily/-
KUALA LUMPUR: Lebih 100 anak muda mengadakan protes di hadapan parlimen hari ini bagi mendesak pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakan jawatan.
Ada diantara mereka berbaring di tepi jalan menuju ke pintu masuk bangunan parlimen sementara menunggu rakan-rakan mereka yang lain menyerahkan memrandum kepada ahli-ahli parlimen.
Mereka mula mengadakan protes ini kira kira jam 9 pagi.
Kumpulan ini terdiri dari gabungan NGO anak muda yang sejak kelmarin berkampung dalam khemah di Padang Merbok sejurus tamatnya Himpunan Aman Black 505.
Antara kumpulan itu termasuklah GM13, NGO Royalti, Asalkan Bukan Umno (ABU), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) antara yang terlibat dalam protes ini.
Antara tuntutan yang diminta oleh anak muda ini termasuk mendesak SPR diletakkan di bawah parlimen, menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat peranan SPR dan jabatan pendaftaran negara atas isu yang berbangkit pada PRU lalu.
Selain itu mereka turut menunut parlimen membincangkan tentang penipuan dakwat kekal dan perletakan jawatan dan permohon maaf secara terbuka oleh pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Sementara itu, kumpulan mereka yang berkumpul dihadapan pintu masuk bangunan parlimen dihalang oleh pihak polis apabila cuba untuk memasuki kawasan parlimen.
Berlaku sedikit pergelutan antara beberapa anggota kumpulan itu dengan pihak polis.
Polis turut menahan tiga daripada mereka termasuk aktivis pelajar Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan