15 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kesemua 222 anggota Dewan Rakyat mengangkat sumpah jawatan pada Penggal Pertama Parlimen ke-13 yang bersidang buat kali pertama hari ini.
Acara yang berlangsung di Dewan Rakyat itu didahului Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga anggota Parlimen Pekan, diikuti timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin (BN-Pagoh) serta 131 anggota Dewan Rakyat mewakili Barisan Nasional (BN).
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) pula mengetuai angkat sumpah anggota Dewan Rakyat mewakili gabungan pembangkang PKR-PAS-DAP.
Upacara yang berlangsung dengan lancar itu disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM1.
Majlis itu turut menyaksikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dipilih semula sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas mengatasi Datuk Abdul Kadir Sulaiman melalui sesi undian bersurat yang dicemari sedikit kekecohan yang dicetuskan wakil rakyat pembangkang.
Pencalonan semula Pandikar Amin dilakukan Najib dan disokong Muhyiddin manakala nama Abdul Kadir, yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dicadangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) dan disokong Karpal Singh (DAP-Tasik Gelugor).
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang diadakan 5 Mei lalu, BN memperoleh majoriti mudah yang membolehkannya membentuk kerajaan persekutuan.
BN menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi, iaitu DAP 38, PKR 30 dan PAS 21.
Berbeza sebelumnya, tiada anggota Parlimen 'tidak berparti' (Bebas) dipilih sebagai wakil rakyat dalam Parlimen ke-13.
Terdahulu, sesi pemilihan Speaker Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangkit mempersoalkan kewajaran pemilih yang dikehendaki menulis nama mereka pada kertas undian.
Ini kerana sebelum borang undian diedarkan, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah memaklumkan mereka hanya perlu menulis nama calon yang dipilih, menurunkan tanda tangan dan melipat kertas undian sebelum diserahkan untuk pengiraan.
Perang mulut antara pakatan pembangkang dan wakil kerajaan berlaku mengenai perkara itu sehingga Roosme mengumumkan Pandikar Amin dipilih semula sebagai Speaker selepas memperoleh semua 133 undi wakil rakyat BN, berbanding Abdul Kadir yang mendapat undi semua wakil rakyat pembangkang.
Roosme, ketika memulakan sesi pemilihan, berkata undi bersurat terpaksa dijalankan selepas terdapat lebih daripada seorang nama yang dicalonkan dan disokong untuk menjadi Yang Dipertua berdasarkan peruntukan Peraturan Mesyuarat 4(3).
"Bagi maksud undi bersurat, pegawai-pegawai dewan akan mengedarkan kertas-kertas undi kepada anggota dewan untuk diisi dengan sempurna dan menulis nama calon yang dipilih, tandatangani, lipatkan dan serahkan kepada setiausaha," jelasnya.
Pandikar Amin, dari Kota Belud, Sabah, dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat buat pertama kali pada mesyuarat pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-12 pada April 2008.
Dalam pada itu, Pandikar Amin turut memahsyurkan anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee dan anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Mereka menang tanpa bertanding berikutan kegagalan pakatan pembangkang mengemukakan nama-nama calon untuk jawatan itu dalam tempoh 14 hari sebelum dewan bersidang hari ini.
Pakatan pembangkang sebelum ini dilapor mahu mencadangkan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar untuk mengisi jawatan berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijadual berangkat ke majlis pembukaan rasmi sesi Dewan Rakyat esok. Ia akan bersidang 16 hari sehingga 18 Julai ini.
Persidangan dewan bersambung esok. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan