15 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Subky Latif, | 24 Jun 2013 |
APAPUN kerosakan di laut, di darat dan di udara seperti jerebu adalah justeru gatal tangan manusia, demikian kira-kira maksud ayat 41 surah ar-Rum.
Maka jerebu yang melanda Singapura, Malaysia dan apa lagi Sumatera sebagai pusat punca yang mengeluarkan asap itu adalah hasil perbuatan manusia rakus mahu memunggah kekayaan bumi Sumatera yang sebanyak-banyak secara senang melakukan pembakaran.
Siapa manusia itu tidak penting, biarlah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkannya.
Pembakaran yang mulanya untuk tujuan ekonomi telah bertukar menjadi bala umum bagi sekurang-kurangnya tiga buah negara Asean berbentuk asap. Asap yang banyak itu memenuhi udara menjadi jerebu siang sentiasa redup dan di setengah tempat siang itu sentiasa seperti senja.
Tidakkah jerebu itu pula satu bentuk tentera Allah yang dikirim-Nya bagi memberi amaran kepada manusia?
Seperti Allah menjadikan tenteranya dalam bentuk seekor nyamuk bagi membinasakan Namrud, maka jundullah dalam bentuk jerebu itu adalah amaran awal kepada kemaksiatan manusia dan ujian bagi orang yang amal soleh. Bala untuk umat Muhammad SAW tidaklah membinasakan manusia seluruhnya seperti yang dialami oleh umat sebelumnya, justeru janji Allah kepada baginda sebagai pengirimannya adalah rahmat kepada seluruh, maka umatnya tidak akan mengalami bala sepahit kaum Nuh, Aad, Tsamud dll.
Tentera asap telah dirakamkan dalam al-Quran dalam surah Ad-Dukhan, betapa asal tebal berkepul-kepul telah melanda bumi mengancam musyrikin Makkah. Tentera asap itu bukan sekadar menyesakkan nafas manusia dan boleh mendatangkan penyakit, malah asap atau jerebu itu, memanaskan udara sekalipun redup, tetapi ia mengakibatkan kemarau bagi wilayah yang Allah hukum.
Apakah gara-gara yang dialami oleh kemarau? Tumbuhan dan tanaman tidak menjadi. Ia menyempitkan rezeki manusia dan binatang. Manusia putus minuman kerana tiada sumber air, putus bahan makanan kerana tanaman tidak menjadi. Apabila binatang baik ternakan dan yang liar mati kelaparan, akhirnya tiada apa yang manusia dapat makan kecuali pasir.
Tentera jerebu yang melanda tiga wilayah Asean itu mungkin memulakan proses kiamat. Ia mungkin dapat diatasi atas penguasaan manusia atas ilmu teknologi, dan atas doa orang-orang soleh, tetapi ia adalah ayat-ayat Allah sebagai amaran kepada kerakusan manusia.
Orang yang melakukan pembakaran itu tentulah berdosa. Mereka bukan sekadar dihukum Allah semasa di dunia dan di akhirat, kerajaan juga akan menghukum mereka. Tetapi dosa mereka yang membakar itu menimpa lain-lain orang yang tidak membakar dan orang yang tidak merebut kekayaan di Sumatera.
Orang miskin Singapura dan Malaysia tidak ada apa-apa kepentingan dengan pembakaran di Sumatera itu, tetapi apakah dosa mereka, maka mereka menerima azab dari kesan jerebu itu?
Pemimpin dan pemerintah ke tiga wailayah yang terlibat perlu bertanya apakah dosa masyarakat masng-masing, dosa kerajaan dan dosa para pemimpin itu sendiri menyebabkan Allah turunkan jerebu itu. Orang yang membakar hutan itu adalah penyebab kepada jerebu itu, jerebu itu adalah bala yang Allah turunkan berpunca dari pembakaran itu.
Kadang-kadang kebakaran bukan kerana ada pembakaran, tetapi oleh gara-gara pembuangan puntung rokok. Apakah manusia selain dari menghukum orang yang gatal tangan dan mengikhtiarkan kaedah mengatasinya, sedia muhasabah akan sebab Allah turunkan bala itu?
Pakar teknologi boleh menanam benih awan dan hujan, orang soleh boleh solat minta hujan, tetapi apa peranan ulama dan sekalian orang yang beriman menyampaikan dakwah, bahawa jerebu itu bukan sekadar gara-gara Riau terbakar, tetapi ia adalah mesej Allah supaya manusia kembali kepada ajarannya. Sebelum yang tidak beriman mndapat petunjuk, orang yang beriman itulah yang mesti insaf dan taubat dulu.
1 ulasan:
Salah satu faktor kegagalan Perhimpunan 505 Blackout bari ni pun sebab jerubu gak.
Catat Ulasan