20 Jun 2013

Lenggong: PAS komited jadikan hab pengajian Islam

11 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Muhammad Faeez Azahar

LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong komited menjadikan Lenggong sebagai hab pengajian Islam.
 Sepanjang mengharungi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, PAS Lenggong benar-benar berhasrat untuk merealisasikan harapan untuk membangunkan kembali pusat-pusat pengajian agama yang dijangka akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya PAS berjaya menerajui kerusi Parlimen.

Namun, keputusan yang telah dibuat oleh masyarakat pengundi masih tidak menyebelahi PAS bagi memudahkan PAS melaksanakan hala tuju murni itu untuk tujuan pembangunan yang meliputi rohani dan jasmani, merangkumi pelan ekonomi jangka masa panjang yang lebih baik untuk masa depan golongan anak muda.



Tidak terkesan dengan keputusan PRU13, Yang Dipertua PAS kawasan, Razman Zakaria selaku mantan calon parlimen Lenggong dan tetap akan meneruskan agenda yang telah direncanakan menurut apa sahaja kemampuan yang ada didalam menyampaikan usaha dakwah untuk membentuk generasi masa depan membangun seiring dengan tuntutan cara hidup di dunia dan akhirat bersama-sama jemaah.

Sebagai penaung kepada sebuah Maahad Tahfiz  Al Quran Lid Da’wah Wal Imaamah yang dibangunkan di tempat kelahiran beliau di Kampung Luat, Lenggong, Razman ingin mengembangkan lagi usaha dakwah melalui pengajian ilmu Islam kepada pimpinan PAS dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi pendakwah dan mengikuti pengajian peringkat diploma pengajian Tasawwur Islam  (ILHAM) yang telah diiktiraf, di Maahad Tahfiz Kampung Luat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Razman menjelaskan, usaha dakwah yang sedang giat diusahakan ini akan diteruskan dan bukan bersifat sementara atau bermusim untuk menghadapi pilihanraya sahaja.

Beliau yakin apabila masyarakat mempunyai ilmu serta memahami tuntutan agama maka, manfaatnya adalah untuk kebaikan mereka sendiri.

“Di samping dengan ilmu yang diperolehi para pelajar itu nanti dapat dikembangkan seterusnya kepada masyarakat melalui dakwah di semua surau dan masjid di tempat masing-masing.

“Tugas kita sebagai khalifah ialah untuk menyampaikan apa yang di suruh dan menegah apa yang dilarang oleh Allah SWT sementara hidayah pula milik Allah dan Dia-lah yang Maha memberikan rahmat kepada sesiapa yang di kehendakiNya,” jelas Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Oleh yang demikian, PAS tidak akan berhenti walaupun terdapat kesukaran dan halangan daripada pihak-pihak tertentu dalam usaha untuk melaksanakan sunnah Nabi untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup secara syumul.

Jelas Razman, dakwah berterusan kepada masyarakat yang tinggal di luar bandar sangat diperlukan kerana sejak kebelakangan ini, program-program  agama semakin dipinggirkan penganjurannya di kebanyakan surau dan masjid di kampung-kampung di kawasan Lenggong, berbanding dengan penganjuran program agama di surau dan masjid di kawasan perumahan bandar.


“Semoga usaha PAS Lenggong untuk membangunkan masyarakat berilmu dan memahami tuntutan agama mendapat sokongan daripada semua pihak di samping bersama-sama memudahkan urusan yang akan mempercepat tujuan murni ini mencapai matlamatnya,” jelas Razman.

Tiada ulasan: