20 Jun 2013

S’gor tubuh suruhanjaya siasat penipuan PRU13

11 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bulan lalu.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim penubuhan suruhanjaya itu selaras dengan kuasa yang diberikan kepada kerajaan di bawah Seksyen 2(3)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Katanya, kerajan negeri berpendapat bahawa penyelewengan pilihan raya adalah melibatkan kepentingan awam dan perkara itu termaktub di bawah akta berkenaan.
Satu sektretariat diketuai oleh Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor esok akan bertindak sebagai penyelaras bagi memastikan suruhanjaya ini bergerak lancar.

"Kerajaan negeri akan mengumumkan ahli panel yang dilantik serta syarat dan peraturan suruhanjaya ini tidak lama lagi," katanya sebagaimana dipetik di laman Facebook rasminya hari ini.

Kerajaan Selangor berpendirian bahawa penyelewengan pilihan raya adalah kesalahan serius yang boleh merosakkan sistem demokrasi negara ini dan amat penting untuk kerajaan negeri menyiasat dakwaan itu bermula dari akar umbi.

Bagi negeri Selangor, tiga kawasan parlimen terlibat dalam petisyen PRU13 iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar dan Kuala Selangor namun tiada petisyen bagi kawasan Dun.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: