11 Syaaban 1434 H. [MOD] -
ENNISKILLEN, United Kingdom 19 Jun - Pemimpin-pemimpin Kumpulan Lapan (G8) semalam menggesa satu persidangan damai untuk Syria diadakan secepat mungkin bagi menyelesaikan konflik berdarah di negara tersebut.
Bagaimanapun, pandangan berbeza antara pemimpin-pemimpin kumpulan negara ekonomi terbesar dunia itu dapat dilihat dengan Rusia masih mempertahankan sekutunya, Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Di akhir persidangan kemuncak selama dua hari di Northern Ireland itu, pemimpin-pemimpin G8 bersetuju untuk menggesa pembentukan kerajaan peralihan di Syria yang akan melibatkan anggota kerajaan Bashar yang berpaling tadah.
Namun, pemimpin terlibat tersebut tidak pula mencadangkan tarikh untuk mengadakan persidangan damai Syria tersebut yang sepatutnya diadakan di Geneva pada bulan ini, rentetan kepada pertemuan sama pada tahun lepas namun telah ditangguhkan.
Krisis di Syria membayangi perjanjian persidangan kemuncak itu yang antara lain membanteras perbuatan mengelak cukai dan berkongsi maklumat kewangan merentasi sempadan.Perdana Menteri Britain, David Cameron menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin G8 sedia mengukuhkan perjanjian berhubung Syria walaupun Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak bersetuju.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi akhir persidangan tersebut tidak pula menyatakan langkah-langkah nyata untuk melaksanakan pendekatan tersebut.
Cameron yang bertindak sebagai tuan rumah persidangan kemuncak tersebut menyatakan, Bashar tidak boleh menyertai kerajaan peralihan tersebut selepas 93,000 orang maut dan negara-negara Barat menuduhnya menggunakan senjata kimia. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan