17 July 2013

Pelajar Cemerlang Kemuka Rayuan Selepas Tidak Ditawarkan Sebarang Kursus di IPTA

8 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Mereka antara pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang namun ia masih belum cukup untuk mereka diterima masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.
Lapan pelajar yang mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 tidak ditawarkan sebarang kursus di IPTA walaupun telah menghantar borang permohonan mereka untuk masuk ke IPTA.

Mereka antara 108 kes rayuan yang diterima oleh MCA daripada pelajar yang telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan program matrikulasi sejak isu berkenaan menjadi perhatian minggu lalu.
 Daripada jumlah berkenaan seramai 55 pelajar mencatatkan keputusan CGPA 4.0.

Pengerusi Biro Pendidikan MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata beliau tidak dapat terima alasan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan bahawa wujudnya kesilapan teknikal yang menyebabkan pelajar cemerlang berkenaan tercicir daripada mendapat tempat atau tidak mendapat kursus pilihan mereka di IPTA.

"Mereka memperoleh keputusan cemerlang dengan CGPA 4.0. Jangan beritahu saya mereka tidak tahu mengisi borang.

"Saya tidak boleh terima alasan yang bodoh seperti itu. Ia sangat tidak adil kepada pelajar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuaan dengan 22 pelajar dan keluarga mereka di Wisma MCA pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai isu teknikal yang dikatakan berlaku, Dr Wee berkata 16 daripada 22 pelajar telah dipanggil untuk menghadiri temuduga di Universiti Sains Malaysia.

"Sekiranya ada berlaku kesilapan teknikal, bagaimana pihak USM boleh panggil mereka menghadiri temuduga?," ujarnya.

Beliau berkata parti itu akan meminta bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Najib dalam twitternya berkata beliau tahu ada yang pihak yang kecewa apabila tidak mendapat tempat di IPTA.

"Jangan putus asa. (Saya) akan berbincang dengan Kabinet minggu ini mengenai langkah terbaik untuk membantu pelajar ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MIC, G. Kalaicelvan berkata parti itu turut menerima banyak aduan ramai pelajar India yang cemerlang tidak mendapat kursus pilihan mereka di IPTA.

"Kebanyakan pelajar ini mahu kursus perubatan dan keputusan STPM mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan bagaimanapun mereka tidak mendapat tempat di IPTA," kata Kalaicelvan.
Beliau berkata ramai pelajar India yang cemerlang itu kecewa selepas keputusan STPM diumumkan tahun lalu.

"Ia adalah masalah yang tiada berkesudahan," katanya.
mstar.com.my/

1 comment:

Anonymous said...

Masalah ini dah dijangka dari dulu lagi...Masalah berpunca bila diperbanyakkan pusat pengajian tinggi awam dan swasta(malangnya kebanyakan kroni dijadikan pentadbir)..Kononnya untuk beri peluang belajar. Pelajar tak cukup, so adjust gred lulus..Pelajar lemah pun boleh masuk u..Hasilnya terpaksa berebut dan tak cukup tempat untuk SEMUA pelajar yang LULUS SPM tu..Itu belum cerita masalah bila keluar u x dapat kerja lagi..