07 Ogos 2013

Kuin: Mukhriz cuba lepas tangan, kenyataan bercanggah

29 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

POKOK SENA: Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkenaan status Kolej Universiti Insaniah (Kuin), bertentangan dari fakta sebenar dan menjerat leher sendiri.

Menurut Mahfuz, Menteri Besar Kedah itu seperti mahu menyembunyikan fakta sebenar dan mahu lepas tangan apabila mendakwa status Kuin adalah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan bukan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Kita kesal dengan kenyataannya yang tidak berpijak dibumi nyata. Kenyataan ini amat menyimpang dari fakta sebenar dan saya amat kesal seorang MB boleh mengeluarkan kenyataan seumpama ini," bidasnya ketika mengadakan sidang media di Pokok Sena, semalam.

Mahfuz sebelum ini membangkitkan isu pembekuan gaji kakitangan Insaniah Holding selama tiga bulan yang cuba di ketengahkanoleh Mahfuz baru-baru ini dan meminta Mukhriz selaku Menteri Besar menyelesaikannya.

"Apabila kita bertegas akan membawa hal tersebut kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, beliau (Mukhriz) mengeluarkan kenyataan 'lepas tangan' seolah-
oleh kerajaan negeri tidak terlibat atau bertanggungjawab dalam hal demikian.

"Kolej Universiti Insaniah Sdn Bhd merupakan milik penuh kerajaan negeri dan Lembaga Kuin sendiri dilantik oleh kerajaan negeri. Malah Pengerusi Lembaga Insaniah adalah Menteri Besar sendiri. 

"Oleh itu adalah tidak wajar sekiranya dikatakan masalah yang dihadapi oleh kakitangan Insaniah Holding bukan masalah kerajaan negeri," tegasnya lagi. 

Sambung beliau lagi, Kuin didaftarkan di bawah Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta dan akan tamat tempoh pada 17 Mei 2016. Walau pun Kuin milik kerajaan negeri namun statusnya adalah IPTS bukan IPTA. 

Apabila Mukhriz mengatakan masalah kakitangan Insaniah Holding bukan bidang kuasa kerajaan negeri, beliau menyifatkan kenyataan itu sangat pelik dan tidak berasas.

"Insaniah Holding merupakan milik penuh Kolej Universiti Insaniah Sdn Bhd kerana apabila sesebuah institusi pengajian yang didaftarkan sebagai institusi swasta, antara syaratnya ianya memerlukan syarikat yang mengendalikannya.

"Oleh itu Insaniah Holding mempunyai kaitan serta pemegang 'share' dengan Kolej Universiti Insaniah Sdn.Bhd. Kenyataan beliau yang menyifatkan Kuin bukan universiti swasta dan menafikan kelayakan mendapat ganjaran seperti kakitangan swasta amatlah dikesali.

"Kerana setakat ini kerajaan negeri masih gagal membuat keputusan secara rasmi berhubung status kakitangan Insaniah Holding dan mereka masih dinafikan hak untuk menerima gaji," ujarnya.

Mahfuz juga mempersoal kenapa Mukhriz secara tiba-tiba mengatakan wujudnya penyelewengan di Insaniah Holding. 

Jika betul dakwaan itu, beliau meminta Mukhriz melaporkan hal demikian kepada pihak polis atau SPRM untuk menyiasat, tetapi dalam sebarang situasi, gaji pekerja tetap perlu dibayar.

"Dia kata ada kakitangan yang tak layak (tidak cukup syarat) bekerja di situ, ok, kerajaan negeri boleh buang mereka tetapi perlu ikut prosuder mengikut undang-undang yang ditetapkan. Tetapi menafikan hak dan gaji mereka tanpa bersebab adalah tidak wajar dan tidak berperikemanusian," terjah Mahfuz.

Beliau berharap Mukhriz tidak melepaskan geram atau dendam politiknya kepada pihak tertentu kepada kakitangan Insaniah Holding. 

Malah, Mahfuz juga mempertikaikan kewajaran Mukhriz mahu menyelesaikan masalah berkenaan secara ehsan, sedangkan kakitangan itu mempunyai hak mengikut perjanjian untuk menerima gaji mereka yang dinafikan sejak Mei lalu.

"Saya berharap, Menteri Besar dapat menterjemahkan erti berpuasa di bulan Ramadan. Jangan tunggu sehingga tindakan undang-undang diambil kerana ini boleh
menjatuhkan nama baik sesebuah kerajaan kerana gagal memberi hak sewajarnya kepada pekerja tanpa sebab yang munasabah," sambungnya lagi.

Kesal kenyataan MB

Sementara itu, wakil Insaniah Holding, Fadli kesal dengan kenyataan MB, kononnya mereka diambil tidak mengikut prosedur dan tidak mempunyai kelayakan sepatutnya. 

Kenyataan berkenaan katanya, seolah-oleh menghina kewibawaan sesetengah pensyarah yang diambil terus dari universiti awam di Malaysia seperti Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia. 

"Pengambilan pekerja mengikut 'Labour Law' dan kita mengadakan temuduga terlebih dahulu, kalau tak layak macamana kita boleh adakan program perubatan dan 
multimedia serta lain-lain. Adakah pensyarah yang kita tawarkan ke sini tidak mempunyai kelayakan? Macam mana yang kita ambil dari USM dan UKM, adakah mereka
juga tidak layak? " soal beliau kesal

Beliau merayu agar gaji kakitangan Insaniah Holding dibayar segera memandangkan Eidul Fitri juga semakin dekat. 

"Jangan pula yang berpiket dan berdemontrasi dibela dan mendapat hak sedangkan yang betul-betul bekerja tidak mendapat perhatian," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah menyatakan, adalah sesuatu yang memalukan apabila seorang Menteri Besar sanggup menyelewengkan fakta semata-mata untuk menidakkan hak kakitangan Insaniah Holding. 

Maklumnya, sebelum ini Kuin didaftarkan sebagai Institut Agama Islam Negeri Kedah (Insaniah Sdn Bhd). 

"Walau pun sekarang, Kuin diletakkan di bawah Badan Berkanun namun ianya tetap IPTS bukan IPTA kecuali Kerajaan Pusat ambil alih. Kalau dah tak mahu anak-anak syarikat yang berada di bawah Kolej Universiti Insaniah Sdn Bhd, tak ada masalah tetapi gaji pekerja dan kakitangan kena bayar. Perkara ini tidak boleh
didolak dalih

"Sebelum ini kerajaan negeri telah meluluskan RM14 juta setahun peruntukan kepada Kuin dan pada tahun 2013 pula dinaikkan sehingga RM17 juta setahun dan disalurkan melalui Kolej Universiti Insaniah Sdn Bhd," jelasnya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Adun Tokai, Dato' Mohamed Taulan Mat Rasul, Adun Alor Mengkudu, Ustaz Ahmad Yahaya dan Adun Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim.

harakahdaily.net/

Tiada ulasan: