07 Ogos 2013

Naqsabandiyah Indonesia raya semalam

29 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Meskipun umat Islam di seluruh Indonesia dijangka menyambut Aidilfitri secara serentak pada Khamis ini, namun sekumpulan pengikut tarekat Naqsabandiyah di Padang, Sumatera Barat sudah pun meraikannya semalam, dua hari lebih awal.


Pengikut tarekat itu mula melaungkan takbir raya malam semalam sebagai tanda menyambut 1 Syawal 1434 Hijrah di surau Baitul Makmur, daerah kecil Pauh, Kota Padang.




Pagi tadi para pengikutnya yang dianggar lebih 5,000 orang di sekitar Padang serta Daerah Solok dan Solok Selatan menunaikan Solat sunat Aidilfitri, media tempatan melaporkan semalam.



Setiausaha surau Baitul Makmur, Edizon berkata kumpulan itu menetapkan Aidilfitri jatuh pada 6 Ogos kerana mereka mula berpuasa sejak 7 Julai.



Mereka menggunakan kaedah perkiraan yang dinamakan hisab munjid, yang dikatakan berasal dari Mekah dan ia dilakukan dengan cara mengira 360 hari dari 1 Ramadan pada tahun lalu dan setiap tahunnya para pengikut tarekat itu selalunya berpuasa 30 hari.



Di Kota Padang, terdapat lebih 70 masjid dan surau tempat ibadat para pengikut tarekat Naqsabandiyah yang meliputi daerah kecil Pauh, Lubuk Kilangan dan Lubuk Begalung.



Pusat aktiviti kumpulan itu ialah di surau Baitul Makmur, di daerah kecil Pauh, Kota Padang.



- Bernama

Tiada ulasan: