07 Ogos 2013

Polis kenal pasti dua suspek kes bunuh Imam Ya'kub

29 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


PATTANI: Polis selatan Thailand mengenal pasti dua daripada empat suspek yang terbabit dalam pembunuhan pemimpin agama berpengaruh, Imam Ya'kub Raimanee iaitu Imam Besar Masjid Jamek Pattani. 

“Bagaimanapun, kes itu masih lagi dalam siasatan sama ada pembunuhan itu berpunca daripada masalah peribadi atau kes keselamatan,” kata Ketua Polis Daerah Pattani, Kolonel Polis Tuan Dir Juthanan pada sidang media, di sini, hari ini. 


Katanya hasil siasatan polis, peluru yang digunakan untuk menembak Ya'kub adalah jenis sama yang digunakan dalam 10 kes lain di Pattani. 


Ya'kub, 49, ditembak empat lelaki dalam jarak dekat di depan ratusan khalayak pada jam 4.40 petang semalam di pasar Ramadan Cabang Tiga di sini ketika membeli makanan berbuka puasa dengan isterinya. 

Berdasarkan rakaman CCTV, suspek menunggang dua motosikal dan memakai topi. Dua daripada mereka bersenjatakan pistol .38mm. 

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menyampaikan ucapan takziah dan berkata, Ya'kub banyak berjasa di kawasan itu. 

"Insiden itu tidak seharusnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini. 
Ditanya adakah kejadian itu hasil kegagalan usaha keamanan di selatan Thailand, beliau berkata, kadang-kadang insiden itu berpunca masalah peribadi dan sehubungan itu meminta orang ramai supaya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terlebih dulu. 

Beliau meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu dengan segera, manakala masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu yang dianggap sensitif. 

Bagi khalayak di Pattani, kematian Ya'Kub adalah kehilangan besar dan mengejutkan. 

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Wae Deramae Matmingchik berkata, Ya'kub adalah seorang yang terkenal dalam masyarakat dan juga imam yang berwibawa di Pattani. 

"Beliau dipilih penerima Anugerah Diraja sebagai Imam Terbaik tetapi belum sempat menerimanya beliau sudah meninggal dunia," katanya. 

Seorang penduduk di Pattani, Samsudin Samae yang sedih dan terkejut dengan berita itu berkata, sukar mencari pengganti Ya'kub kerana beliau seorang yang arif dalam hal ehwal duniawi dan akhirat. - BERNAMA

Tiada ulasan: