28 August 2013

Laporlah SPRM tapi bayar gaji kakitangan Insaniah

21 Syawal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Apa jua tindakan yang diambil Kerajaan Kedah berhubung isu Insaniah Holdings Sdn Bhd (IHSB), Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir digesa terlebih dahulu membayar gaji 268 kakitangan IHSB yang tertunggak sejak Mei lalu hingga 25 Ogos.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu sebenar adalah keengganan kerajaan Kedah untuk membayar tunggakan gaji kakitangan IHSB namun mereka cuba mengalihkan isu ini dengan menimbulkan pula isu penyelewengan.

"Kalau ada di kalangan mereka (268 kakitangan) yang menyeleweng sila ambil tindakan kepada orang berkenaan. Takkan kesemua mereka ini menyeleweng," tegas Mahfuz kepada Harakahdaily.

Malah beliau turut mencabar Mukhriz Mahathir untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan sebelum ini jika benar-benar berlaku penyelewengan.

"Tidak perlu hendak buat kertas putih, kalau buatpun tetapi tidak ada tindakan tidak ada gunanya juga. Ada bukti ambil tindakan. Ambil report SPRM, dan report pada polis jenayah perdagangan, kita bersedia," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bahkan katanya, kerajaan Kedah tidak ada sebab untuk terus menahan gaji kakitangan terbabit kerana mereka berhak mendapat hak masing-masing. 

"Takkan kesemua 268 kakitangan itu tidak betul, kita desak kerajaan Mukhriz bayar gaji mereka dulu. Kerajaan Kedah tidak seharusnya melepaskan marah kepada mereka," katanya.

Mahfuz turut memberitahu sejak PAS memerintah Kedah berapa banyak dakwaan penyelewengan yang dibuat oleh Umno BN, namun satu tindakan pun tidak pernah diambil. 

"Kita 'no problem', jika hendak siasat SPRM pun kita 'no problem' silakan," tambah Mahfuz.

Semalam di dalam sidang Dun Kedah, isu tersebut telah dibangkitkan ekoran itu Kerajaan Kedah bersedia mempertimbang cadangan untuk menyediakan 'kertas putih' mengandungi penjelasan berhubung pelbagai isu berkaitan.

Harakahdaily

No comments: