03 September 2013

Adam Adli dan Hishamuddin Rais ditahan kerana kibar ‘Sang Saka Malaya’

Bendera 'Sang Saka Malaya' yang di kibarkan oleh kedua-dua tertuduh pada malam hari Jumaat, semasa menyambut Hari Merdeka di Dataran Merdeka.
27 Syawal 1434 H. [MOD] -

Aktivis Adam Adli Abdul Halim dan Hishamuddin Rais telah ditahan polis kira-kira jam 8.50 malam tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
The Malaysian Insider berjaya menghubungi dua aktivis itu dan mereka telah mengesahkan ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 dipercayai kerana mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" pada malam sambutan kemerdekaan pada Jumaat.

"Kami ditahan kira-kira jam 9 malam tadi sewaktu sedang menikmati makan malam di Kampung Baru.
"Kami kini masih berada di IPD Dang Wangi dan dibenarkan menghubungi peguam. Kami masih menunggu kehadiran peguam, namun masih belum pasti siapakah yang akan mewakili kami," kata Hishamuddin apabila dihubungi The Malaysian Insider.
Agensi berita nasional, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid berkata polis sedia menyiasat pihak yang mengibar bendera "Sang Saka Malaya" jika ada laporan dibuat mengenainya.


Beliau menegaskan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap kumpulan yang mempertikaikan status Jalur Gemilang sebagai bendera Malaysia.

Mengulas mengenai kumpulan yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" pada sambutan ambang Merdeka di Dataran Merdeka Jumaat lalu, beliau berkata, pihak yang tidak berpuas hati dengan insiden itu harus membuat laporan polis.
Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang mengaku taat setia kepada negara, soal mempertikai bendera kebangsaan harus dielakkan. - 2 September, 2013.
themalaysianinsider.com

No comments: