03 September 2013

Minyak: BN umpan 47% rakyat, 53% turut merana

27 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,03 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat telah memberi tawaran yang cukup menarik dalam manifesto untuk rakyat iaitu menurunkan harga pertrol pada keesokan hari selepas Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) lalu jika berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.


Malangnya, kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar 47% rakyat negara ini termakan tipu muslihat Barisan Nasional dan telah memenangkan komponen itu di 133 kerusi Parlimen.

Beliau menyatakan demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membuat pengumuman semalam harga petrol RON95 dan diesel naik RM0.20 mulai tengah malam tadi.

Ini, ujarnya bermaksud rakyat negara ini terpaksa menghadapi tanggungan yang lebih besar mulai hari ini.

Katanya, kerajaan secara bijak mengurangkan subsidi yang dibayar dan memindahkan kos itu kepada rakyat jelata.

Pengerusi DAP Perak itu berkata, Pakatan Rakyat telah memberi amaran kepada rakyat supaya membuat pilihan secara was-was dalam PRU13 lalu.

“Kita telah menjangkakan strategi Barisan Nasional yang akan mengurangkan subsidi minyak petrol dan diesel selepas pilihanraya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, jelasnya Pakatan Rakyat juga telah memberi tawaran yang cukup menarik dalam manifesto untuk rakyat iaitu menurunkan harga pertrol pada keesokan hari selepas pilihanraya jika berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

“Malangnya, 47% rakyat negara ini termakan tipu muslihat Barisan Nasional dan telah memenangkan komponen itu di 133 kerusi Parlimen.

“Terbukti bahawa mereka ini berjaya diumpan oleh Barisan Nasional untuk kepentingan politiknya,” katanya.

Golongan ini, tambahnya telah dipengaruhi dan mempercayai kata-kata manis Barisan Nasional lantang membuat pemilihan yang salah dalam PRU13.

Mereka, ujar beliau diberi hadiah yang cukup istimewa oleh Barisan Nasional dengan menaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak RM0.20 per liter.

“Saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Naik Harga Petrol kepada semua yang mengundi Barisan Nasional dalam PRU13,” ujarnya sinis.

Jelasnya, harga petrol RON95 naik dari RM1.90 kepada RM2.10 seliter manakala harga diesel pula naik dari RM1.80 kepada RM2.00.

Untuk mendapatkan gambaran yang jelas, kata beliau pembelian 50 liter petrol RON 95 atau diesel akan menambahkan beban sebanyak RM10.

Sebagai contoh, katanya sebelum kenaikan harga, jumlah yang perlu dibayar untuk 50 liter petrol RON95 ialah RM95.

Beliau menambah, setelah kerajaan mengurangkan subsidi RM0.20, harga baru yang perlu dibayar untuk kuantiti yang sama ialah RM105 iaitu tambahan sebanyak RM10.

Pada masa ini, ujarnya kerajaan memberi subsidi harga minyak sebanyak RM24.8 bilion  setahun.

“Untuk mengurangkan tanggungan ini, kerajaan cuba memindahkan beban ini kepada rakyat jelata.

“Selepas kenaikan harga ini, rakyat terpaksa menanggung lebih kurang RM1.1 bilion setiap tahun,” katanya lagi.

Ini, kata Sivakumar adalah kesan langsung yang terpaksa dipikul oleh rakyat dengan serta merta.

“Apa yang lebih membebankan rakyat ialah kesan tidak langsung iaitu rantaian yang timbul akibat kenaikan harga petrol dan diesel ini,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, kenaikan harga petrol dan diesel secara mendadak  ini sudah pasti akan mewujudkan kejutan ekonomi.

Tambahnya, kos barangan dan perkhidmatan akan bertambah yang akan menaikan harga semua barangan yang bergantung secara langsung dan tidak langsung kepada bahan api terutamanya petrol dan diesel.

Justeru, katanya kenaikan harga petrol dan diesel akan mengakibatkan inflasi yang tidak boleh dikawal dengan mudah.

“Apabila harga barang-barang lain meningkat maka beban atau kos hidup akan bertambah juga.

“Inflasi seperti ini akan menurunkan taraf hidup rakyat Malaysia kerana tidak ada perubahan dalam pendapatan yang diterima,” kata Sivakumar lagi.

Tiada ulasan: