19 September 2013

Adlin kekal Yang Dipertua PAS Lembah Pantai

13 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Lembah Pantai mengekalkan hampir 90 peratus kepimpinan sesi lalu pada mesyuarat agung tahunan kawasan itu yang diadakan pada 15 September lepas.

Jawatan Yang Dipertua PAS kekal disandang Adlin Salleh, manakala Timbalan Yang Dipertua diamanahkan kepada Hazmi Mamat.



Bagaimanapun, terdapat perubahan bagi jawatan Naib Yang Dipertua yang menyaksikan bekas bendahari, Zulkifli Ismail dipilih perwakilan.



Menyentuh usul-usul yang dibawa PAS Lembah Pantai, Adlin yang dihubungi Harakahdaily, hari ini memaklumkan kebanyakan usul yang diputuskan bersifat dalaman.



"Antara usul yang dibawa Lembah Pantai, usul supaya dipromosikan semula kempen 'Keluargaku Ahli PAS', selain usul menggerakkan kerja-kerja awal bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14)," kata beliau.



Dalam pada itu, tambah beliau PAS Lembah Pantai turut mengemukakan usul untuk menzahirkan PAS dalam bentuk PAS yang tergolong dalam apa yang disebutkan PAS For All.



Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa telah menyempurnakan perasmian mesyuarat agung tahunan tersebut.



Ketika ini, kebanyakan kawasan-kawasan sedang giat menyempurnakan mesyuarat agung di kawasan masing-masing sebagaimana yang dikehendaki PAS Pusat.



PAS Pusat telah menetapkan tarikh bermula 12 Ogos hingga 30 September untuk PAS kawasan menyempurnakan mesyuarat agung kawasan masing-masing.



Bagi Muktamar Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak peringkat negeri pula, tarikh yang ditetapkan adalah bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober manakala dewan-dewan peringkat pusat akan berlangsung pada 20 hingga 21 November.



Muktamar Tahunan PAS ke-59 tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan, dengan Selangor dipilih menjadi tuan rumah.



Muktamar tahun ini juga akan menyaksikan proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.

Harakahdaily

Tiada ulasan: