19 September 2013

Gimik bakar Obama tanda bantah TPPA

13 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis yang bergabung dalam NGO Bantah TPPA malam tadi membakar patung Presiden Amerika, Barack Obama sebagai gimik pelancaran program Jelajah #BantahObama #TolakTPPA anjuran mereka.

Pada majlis yang berlangsung di Taman Melati, Wangsa Maju malam kelmarin itu mereka turut membakar bendera Amerika Syarikat di hadapan ratusan hadirin yang hadir.



Aksi itu dibuat menjelang kehadiran Obama pada 11 Oktober ini di KLCC, di mana mereka telah menyatakan pendirian akan "menyambut" presiden AS itu pada hari tersebut.



Barack Obama dijadualkan ke Kuala Lumpur untuk menjadi saksi tandatangan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian TPPA, namun tekanan yang hebat dari rakyat dan pelbagai NGO telah menyebabkan kerajaan Malaysia menangguhkan tandatangan metrai perjanjian tersebut.



Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, aksi "bakar Obama" itu sebagai satu amaran penting simbolik penolakkan terhadap perjanjian penuh kerahsiaan TPPA dan juga kehadiran Obama ke Kuala Lumpur. 



"Jelajah #BantahObama #TolakTPPA akan merentasi seluruh negara merangkumi 13 lokasi dari setiap negeri. 



"Hari ini, jelajah siri kedua akan menyusul ke utara tanahair di Bayan Baru, Pulau Pinang bertempat di Tapak bekas Astaka Bukit Gedung bermula jam 8.30 malam, sebelum ke Kangar dan Alor Setar pada hari berikutnya," katanya.



Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut malam semalam termasuk pemimpin parti politik seperti Tian Chua, Dr Hatta Ramli serta aktivis Che'Gu Bard, Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Safwan Anang.



Wakil dari NGO pula termasuk Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT).

Harakahdaily

Tiada ulasan: