SUBANG JAYA: Saksi ketiga yang tampil memberi keterangan dalam prosiding Tribunal Rakyat berkait proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, membuat pendedahan mengejutkan.
Abu Hussin Tamby, wakil calon Dun Air Limau, Melaka ketika memberi keterangan berkata beliau nampak anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat kiraan undi awal biarpun pengundian awam belum berlangsung.
Kejadian itu katanya berlaku pada 2 Mei iaitu tiga hari sebelum pengundian awam berlangsung, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira jam 3.15 petang.
Semasa kejadian, saksi bersama dua wakil calon lain diiringi dua anggota polis ke IPD berkenaan untuk menyerahkan kotak peti undi awal dari Lubuk Cina.
Semasa masuk ke balai itu, katanya, beliau dengan jelas menyaksikan kira-kira tujuh anggota SPR mengelilingi longgokan kertas undi di satu sel lokap.
“IPD itu memang menjadi tempat simpanan peti undi. Semua kotak undi dikumpulkan dalam lokap," katanya dipetik Selangorku.
“Semasa tiba di lokap, saya lihat tujuh atau lapan orang memakai baju SPR mengelilingi timbunan kertas undi itu, menunjukkan mereka sedang buat kiraan.
“Hanya nampak kertas undi tetapi kotak peti tiada. Saya percaya ia dari Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah,” katanya yang memberitahu ada membuat laporan polis di IPD Masjid Tanah selepas kejadian itu.
Beliau ada memohon kepada polis untuk menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.
“Polis tidak boleh beri jawapan tepat. Mereka cuma kata segala keputusan terhadap salah laku itu diserahkan kepada atasan,” katanya.
Sementara itu, prosiding Tribunal Rakyat berlangsung di Hotel Empire di sini bermula semalam sehingga 22 September ini.
Ia mengkaji, menyiasat dan menilai rungutan mengenai insiden menjelang PRU 13 atau di sekitar pilihan raya termasuk proses pengundian.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan