17 September 2013

Bakar rumah taktik halau setinggan Batu Sapi?

11 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
PADANG JARAK...lebih 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

SANDAKAN: Setiap kali penduduk setinggan atau tanah teroka diarah berpindah akan berlaku insiden kebakaran misteri yang menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa.


Kejadian ini lazimnya terjadi selepas keengganan penduduk menuruti arahan kerana tidak berpuas hati dengan tempat tinggal baru yang disediakan termasuk pampasan rendah yang dijanjikan.



Demikian kata pengasas PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Hamzah Abdullah, 7 September lalu kepada  kami -- saya dan Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman -- ketika berkunjung ke tempat kejadian, dekat Sandakan baru-baru ini.



Harakah dibawa melihat sebahagian rumah atas air Kampung Cenderamata, Batu Sapi, yang musnah dijilat api pada hari pertama Syawal lalu. Rombongan kami, yang kebetulan lewat tiba, ketika azan Maghrib hampir berkumandang, disambut penuh harapan. 



Jelas sekali impian besar mereka mahu masalah yang menghimpit dapat diberi liputan meluas oleh pihak media, khususnya Harakah, agar penyelesaian tuntas dapaty disegerakan. 



Seorang maut susulan kebakaran besar itu manakala lebih 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menetap di khemah sementara dan garaj kereta yang dibina berhampiran tempat kejadian.



Kata Hamzah, beberapa kes sama telah berlaku membabitkan setinggan, namun sehingga kini masih tidak ada tindakan daripada pihak berkuasa dan agensi kerajaan.



Bagi seorang penduduk, Edi Sumardi Jaffar, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.



Pada hari kejadian katanya, sepasang suami isteri dilaporkan bergaduh dan si suami dikatakan bertindak membakar rumahnya sendiri.



Namun yang menimbulkan kemusykilan lelaki yang dipercayai suami pasangan, telah mengeluarrkan seluruh isi barang dalam rumah terlebih dahulu, kemudian bertindak membakar menyebabkan api marak, melibatkan rumah kejiranan yang lain.



"Saya lihat percikan api yang jatuh ke dalam air disambar dengan cepat ... seolah-olah ada minyak yang telah disimbah di seluruh kawasan air dan sekitar rumah.



"Kita telah buat tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Sandakan tetapi tiada dimaklumakan hasilnya.Ini termasuk siasatan pasukan bomba yang tidak mendedahkan punca kebakaran," kata Edi kepada Harakah.



Beliau memberitahu bahawa sebilangan besar penduduk yang menjadi mangsa sudah sebulan tinggal di dalam khemah dan garaj kereta sejak Aidilfitri lepas.



"Lebih sedih, dalam susah begini, mereka suruh kami pindah ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan membayar deposit...mana kami ada duit," katanya.



Wakil Rakyat kawasan Sekong Dato' Samsudin Yahya pernah dilaporkan berkata beliau bersama Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen akan berbincang dengan Ketua Menteri, Dato' Seri Panglima Musa Haji Aman mengenai cadangan pembinaan PPRT itu.



Dalam bencana itu, dengan segera PAS Sabah bersama anggota Jabatan Amal Malaysia, berusaha membantu meringan beban mereka, jelas Hamzah.



"Antara sumbangan yang disalurkan ialah berupa keperluan harian seperti beras, roti, baldi dan sebagainya serta pakaian terpakai dan duit raya kepada kanak-kanak," katanya.



Rata-rata mangsa kebakaran, termasuk Edi, melahirkan rasa kecewa sehingga sebulan lebih, insiden yang menimpa masih belum mendapat perhatian serius serta bantuan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan.



Edi berkata penduduk sebelum kejadian itu telah lama mencuba untuk mengemukakan permohonan kepada pihak kerajaan untuk mendapatkan status kampung bagi mewujudkan perkampungan.



Keputusannya ialah arahan berpindah dan ianya dibuat sebelum kejadian kebakaran menimpa.



Selepas kebakaran, pihak Barisan Nasional telah meminjamkan dua buah khemah sebagai tempat teduh sementara, bagi lebih 98 keluarga.



"Tiba-tiba tanpa penjelasan BN telah mengambil dua khemah itu semula.



"Kami terpaksa tidur di garaj kereta beratap zing tapi malam tak boleh, panas," luahnya.



Salurkan sumbangan terus ke dalam akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 5640 7000 0336. Bantuan akan diagihkan melalui PAS Kawasan Batu Sapi.


Keadaan penginapan mangsa di dalam khemah.




Harakahdaily

Tiada ulasan: