17 September 2013

Ronaldo 'tak pandang' United

11 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
LONDON - Bekas bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo menegaskan, dia mempunyai masa depan yang amat cerah di Real Madrid dan tidak mungkin kembali ke Manchester selepas menandatangani kontrak baharu bernilai 270,000 pound (RM1.41 juta) seminggu.


Kontrak tersebut bukan saja akan mengekalkan bintang sayap Portugal itu di Madrid sehingga 2018, malah membolehkannya menikmati gaji yang lebih tinggi berbanding sensasi baharu Real, Gareth Bale.


Malah yang paling penting, United sudah boleh melupakan sebarang hajat untuk membawa pulang bekas bintang mereka itu ke Old Trafford kerana Ronaldo menegaskan bahawa Real Madrid adalah masa depannya.

"Semua orang tahu saya pernah bermain untuk Manchester United selama enam tahun, tetapi Manchester adalah masa lampau saya.

"Sekarang kelab saya adalah Real Madrid. Ini rumah saya, keluarga saya juga berada di sini dan saya sangat gembira tinggal di Madrid," katanya yang menerima gaji tahunan 14.25 juta pound (RM 74.80 juta).

Menurut Ronaldo, 28, dia menghormati semua kelab yang pernah menyuarakan minat untuk mendapatkan khidmatnya, termasuk United tetapi dia percaya semua pasukan itu tahu apa yang dimahukan dalam kariernya.

"Mereka tahu apa keputusan saya. Satu-satunya sasaran saya adalah untuk bermain dan berada di sini (Madrid) selama yang mungkin, malah barangkali saya akan menghabiskan seluruh karier saya di sini," katanya lagi.

Pendapatan mingguan Ronaldo bernilai hampir 100,000 pound (RM524,000) lebih tinggi daripada yang dinikmati oleh Bale, yang berjaya mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol dalam penampilan sulung bersama Real, Sabtu lalu.

Malah, angka tersebut tidak termasuk bonus yang bakal dinikmati sekiranya dia berjaya membantu Real Madrid muncul juara La Liga atau Liga Juara-Juara.

Ronaldo merupakan pemain yang menerima gaji tertinggi di dunia ketika ini.

Rekod terdahulu dipegang oleh bintang penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang menerima 14 juta pound setahun (RM73.49 juta) daripada kelab Perancis, Paris Saint-Germain.

Bintang penyerang Argentina, Lionel Messi pula menerima 11.8 juta pound (RM61.94 juta) daripada Barcelona. 

- AGENSI



1 comment:

mohd azrul said...

semoga jdt dan jfa menang malam ini dlm piala malaysia luaskan kuasamu johor