18 September 2013

Pendidikan berubah, anak-anak jadi tempat ujian

12 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru agar kerajaan kembali kepada asas pendidikan mengikut acuan pembangunan manusia yang mempunyai fitrah dan roh sebagai hamba Allah.

Katanya,  sistem pendidikan yang ada pada hari ini malangnya tidak sebegitu menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.


"Sistem pendidikan yang dibuat kerajaan sentiasa berubah, anak-anak kita dijadikan tempat ujian sahaja. Selepas gagal, buat yang lain puncanya tidak guna acuan yang ditetapkan oleh Allah Taala.



"Akhirnya dengan sistem yang diamalkan ini melahirkan manusia yang bodoh tidak boleh diajar cerdik tidak boleh diikut," katanya kepada Harakahdaily.


Tambahnya, banyak yang disalahgunakan kerana tidak beramanah ekoran acuan pendidikan yang salah.


"Pelan pendidikan masih mengulangi acuan yang sama bermula Penyata Razak Penyata Rahman Talib. Tidak memberi apa-apa makna," katanya.


Beliau berkata demikian selepas memberi Ucaptama dalam Majlis Konvokesyen kali Pertama Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm) di Taman Melewar hari ini.


Sementara itu, seramai 30 graduan Kuizm menerima anugerah yang disampaikan oleh Abdul Hadi Awang dan Ahli Lembaga Pengarah Kuizm Datuk Dr Mahfodz Mohamed dalam Majlis Konvokesyen yang berlangsung di Dewan Datuk Fadzil Noor, di sini.


Turut bersama dalam majlis ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kuizm Datuk Mahfodz Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah Kuizm Datu Mohd Amar Nik Abdullah, Rektor Kuizm Dr Shahbudin Ngah dan beberapa pimpinan Muslimat PAS.


Konvokesyen buat pertama kalinya berjaya melahirkan graduan cemerlang peringkat diploma dan sijil. 


Seramai 10 graduan berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma Dakwah dan Komunikasi dan Muamalat dan Kewangan Islam dan 20 graduan lagi diperingkat sijil antaranya Pensijilan Asas Pengajian Islam (KPAPI). 


Konvokesyen ini turut menyaksikan pelajar daripada Kelantan iaitu Nurul Izzati Mohhamd  Sanadi merangkul anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan manakala Rahimah Noraakmal Muhammad diberikan anugerah Graduan Cemerlang Akademik.


Sebahagian mereka yang menerima anugerah ini akan menyambung pengajian di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Raden Fatah, Palembang pada 23 September ini untuk memperolehi Ijazah Sarjana Muda. 


Kuizm ditubuhkan pada 6 Disember 2009 atas cetusan idea dan usaha Dewan Ulamak PAS Pusat, kini Kuizm mempunyai 78 mahasiswa yang mengikuti dua program pengajian yang ditawarkan iaitu Di]ploma Dakwah dan Komunikasi dan Diploma Muamalat Kewangan Islam.


Harakahdaily

No comments: