18 September 2013

Menjerat Kedah dalam isu air

12 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - 
SEWAKTU di bawah Pakatan Rakyat, kerajaan Negeri Kedah berusaha keras menyelamatkan hak-hak negeri berhubung air, dari menjadi mangsa 'penjajahan' oleh kerajaan Persekutuan. Kini apabila Kedah bertukar teraju kepimpinan kerajaan negeri, dengan mudah pula hak tersebut diserahkan kepada Pusat di samping negeri terpaksa menanggung beban tanggungan tertentu. Akibat yang tidak dapat dielakkan dan hampir pasti akan berlaku ialah kenaikan tarif air untuk rakyat!

Sepanjang 50 tahun BN mentadbir Kedah (1957-2007), negeri ini dibebani hutang sebanyak RM2.4 bilion, yang mana RM1.7 bilion daripada jumlah itu adalah pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai perkhidmatan bekalan air. 



Setelah mengambil alih pemerintahan pada Mac 2008, kerajaan Pakatan mendapati selain bebanan hutang yang sangat tinggi, infrastruktur dan perancangan perkhidmatan ini jauh ketinggalan di belakang keperluan semasa dan unjuran keperluan masa hadapan.


Hal ini berlaku kerana pihak kerajaan negeri waktu itu lebih cenderung membuat pinjaman daripada kerajaan Persekutuan, berbanding memohon geran (yang menjadi hak rakyat Kedah yang juga rakyat Malaysia) gara-gara keinginan mereka menentukan projek-projek itu dapat diagihkan berdasarkan kepentingan politik mereka. 


Hal ini dapat dikesan dengan ketara dalam projek pembinaan loji air di Padang Sanai yang telah dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos 2010.



hutang tidak berbayar


Pusat sedar akan kelemahan negeri-negeri untuk menjelaskan hutang berhubung pinjaman berkaitan air lantas menggunakan taktik 'penjajahan' melalui pindaan akta Persekutuan. Akta Perkhidmatan Air Negara (Water Sevices Industry Act – WASIA) diluluskan di Parlimen Malaysia dan diwartakan pada 2006 telah membawa kepada pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai entiti pengawal (regulatory) perkhidmatan air seluruh negara.


Melaluinya juga diwujudkan Perbadanan Aset Air Negara (PAAB) sebagai sebuah entiti milik penuh Perbadanan Menteri Kewangan (MOF Incorporated), khusus untuk menyediakan capital/dana untuk pembinaan aset  bekalan air (loji, paip, tangki, pusat rawatan dan lain-lain). PAB juga ditugaskan membeli dan menguruskan semua hutang tidak berbayar (NPL) kerajaan-kerajaan negeri.


Semasa Ustaz Azizan memimpin kerajaan, beliau cuba mempastikan supaya status pinjaman terhadap semua yang berkaitan dengan perkhidmatan air dikaji semula. Projek perkhidmatan air untuk kawasan luar bandar, sepatutnya berstatus geran Pusat bukan pinjaman. Misalnya pembinaan loji pembersih di Padang Sanai (RM155 juta), Lubuk Buntar (RM65 juta), Empangan Ahning (RM48 juta) sepatutnya mendapat peruntukan geran. Semua perkhidmatan luarbandar di Kedah bernilai RM1.3 bilion.


'Cerdiknya' kerajaan BN Kedah selepas mengambilalih pentadbiran adalah menghentikan perbincangan dan mengiktiraf kesemuanya sebagai pinjaman. Apakah negeri mampu membayar balik pinjaman yang besar itu?


Berdasarkan Akta SPAN, Kerajaan Pusat berhak mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan bekalan air di mana-mana negeri – melalui arahan Menteri berkaitan - bila mana satu laporan audit oleh SPAN mendapati kedudukan kewangan agensi air negeri tidak berupaya menampung operasinya. 



migrasi aset air


Pinjaman kerajaan Pusat yang sebelumnya diberikan kepada kerajaan negeri, kini akan dipindahkan kepada PAAB dan agensi ini berkuasa penuh ke atas sumber tersebut. Semua aset yang dibina/diambil alih oleh dana PAAB akan disewakan kepada syarikat/operator bekalan air pada kadar yang ditentukan oleh PAAB. Sewa ini digunakan untuk membayar hutang kerajaan negeri.


Kini kerajaan negeri dalam proses untuk menandatangai migrasi aset air negeri kepada PAAB. PAAB membeli hutang/NPL kerajaan negeri daripada kerajaan pusat dan bayaran dibuat secara lump-sum (sekaligus) melalui pembiayaan dana antarabangsa. Negeri akan jadi 'hamba hutang' PAAB.


Dilaporkan selepas ini kerajaan negeri, melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan membayar kepada PAAB sebanyak RM65 juta setahun, di samping bayaran pajakan RM5 juta setahun; menjadikan jumlah RM70 juta selama 45 tahun!


Kerajaan BN negeri bukan ada kekuatan untuk membayar hutang. Untuk membayar hutang kampus induk KUIN pun mereka terkial-kial mencari helah (bukan mencari sumber), sehingga terpaksa memburukkan kerajaan lalu. Pilihan terbaik untuk Mukhriz dan kerajaan BN Kedah adalah menaikkan tarif air. 


Percayalah, kenaikan tersebut tak dapat dielakkan lagi!



Harakahdaily




Tiada ulasan: