18 September 2013

Tingkat hubungan rakyat kepentingan kritikal Asean

12 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Asean bukan sahaja perlu meningkatkan tiga tonggaknya - politik/keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, tetapi juga hubungan sesama rakyat bagi memastikan kumpulan serantau itu terus kukuh selepas 2015.


Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (kiri) berkata ini antara kepentingan kritikal bagi Asean untuk melakar masa depannya selepas 2015.

"Asean harus berkembang atas platform yang sama. Ini seterusnya akan mengukuhkan keupayaan kita mempengaruhi hal ehwal global," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Asean ke-46 di Kuala Lumpur semalam.

Ucapan beliau dibacakan timbalannya Datuk Hamzah Zainuddin.

Anifah berkata Asean juga mesti terus menetapkan impian yang tinggi untuk badan itu terutama dalam merealisasikan penyatuan rakyat dan Asean yang lebih bersepadu.

Asean juga perlu berterusan mewujudkan rantau yang aman dan bebas daripada konflik, selain merapatkan jurang pembangunan antara anggota dalam keluarga negara Asia Tenggara, katanya.

Beliau berkata Asean yang telah menempuh tempoh yang panjang sejak penubuhannya pada 1967, kini merupakan badan serantau yang berjaya menyelesaikan konfliknya melalui dialog dan perbincangan.

"Kajian mendapati sejak Asean diwujudkan, konflik antara negara telah menurun hampir 99 peratus. Rekod yang membanggakan ini tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana kawasan lain," katanya.

Beliau berkata dengan jumlah keseluruhan penduduk lebih 600 juta orang dan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar US$2.3 trilion, Asean antara rantau paling dinamik di dunia.

Justeru perpaduan adalah penting untuk masa depan Asean dan proses integrasi perlu diperhebat, katanya.

- Bernama

No comments: