18 September 2013

Staf Komas didakwa kes tayang filem Sri Lanka

12 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pegawai Program Komas Lena Hendry berdepan pendakwaan berhubung penayangan filem “No Fire Zone" sebuah dokumentari pembunuhan beramai-ramai di Sri Lanka, Julai lalu.


Menurut satu kenyataan Komas hari ini, Lena diminta hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari esok, 19 September, 2013.

"KDN telah mengeluarkan notis memaklumkan kepada Komas bahawa Lena Hedry akan didakwa dan dia diminta untuk hadir di mahkamah Majistret pada 19 September 2013 untuk didakwa di bawah akta penapisan filem," kata Tan Jo Hann, Pengarah Pusat Komas dalam satu kenyataan.

Pada 3 Julai lalu, Lena bersama Pengarah Eksekutif Komas Arul Prakkash dan seorang Ahli Lembaga Pengarah Komas Anna Har ditahan ketika tayangan filem “No Fire Zone, the Killing Fields of Sri Lanka”. 

Penanahanan itu dibuat dalam serbuan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis dan Jabatan Imigresen.

Filem “No Fire Zone, Killing Fields Sri Lanka" adalah sebuah filem dokumentari yang memaparkan pencabulan hak asasi manusia di Sri Lanka yang dikenakan oleh kerajaan dan ketenteraan terhadap rakyat. 

Menurut Komas, ketika serbuan pada hari tayangan tersebut 3 Julai lalu, wakil kedutaan Sri Lanka turut hadir untuk menghentikan penayangan.

"Ini adalah satu bentuk gangguan dan pelanggaran langsung kepada kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Adalah menyedihkan bahawa Malaysia yang merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia sebenarnya harus menjadi pembela bukannya menzalimi aktivis hak asasi manusia," kata Jo Hann.

Harakahdaily

No comments: